'Kenyataan Sanusi dangkal' - Kok Yew

Laporan Sinar Harian pada 22 Oktober lalu. Gambar kecil: Tan Kok Yew
Laporan Sinar Harian pada 22 Oktober lalu. Gambar kecil: Tan Kok Yew
A
A
A

ALOR SETAR - Kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengaitkan isu persempadanan semula kawasan pilihan raya hanya memberi manfaat kepada pemerintah disifatkan sebagai dangkal.

Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew berkata, persempadanan semula adalah untuk merealisasikan prinsip keadilan kepada pengundi, bukannya memberi kelebihan kepada pemerintah untuk meraih undi.

Menurutnya, ia juga memberi nilai tambah kepada setiap undi selain memberi manfaat kepada rakyat.

“Ia tiada kaitan kononnya persempadanan semula akan memihak kepada parti kerajaan, sebaliknya rakyat akan mendapat perkhidmatan yang lebih adil dan saksama daripada wakil rakyat kawasan,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Beliau mengulas kenyataan Sanusi yang mendakwa persempadanan semula kawasan pilihan raya dijangka berlaku dalam penggal ini dan ia tidak boleh memberikan kelebihan kepada parti bawah Kerajaan Perpaduan.

Ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan Pas ke-69, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas itu mahu ahli Pas mengambil berat perkara tersebut dan memastikan persempadanan berada dalam kawalan parti itu selain menyebut Kerajaan Perpaduan harus dijatuhkan dalam apa cara sekalipun.

Dalam pada itu, Kok Yew turut membidas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyatakan bahawa Kerajaan Madani dipenuhi dengan ‘najis’.

“Kenyataan seperti itu menggambarkan pemimpin Pas penuh dengan dendam kesumat.

Artikel Berkaitan:

"Saya ingin tanya siapa 'najis' yang dimaksudkan? Adakah Presiden Pas turut menghina Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja secara tidak langsung kerana mengangkat kerajaan sedia ada ini?” soalnya.

Menurutnya lagi, usaha Pas dan Perikatan Nasional (PN) dalam menjatuhkan kerajaan sedia ada menunjukkan parti itu tamak haloba dan rakus sehingga mengetepikan Perlembagaan Persekutuan dan mandat rakyat.

“Cukuplah kita semua sengsara selepas Langkah Sheraton dahulu. Saya harap ahli-ahli DAP tidak berkelakuan seperti itu.

“Kita (DAP) menjunjung tinggi prinsip Perlembagaan dan Rukun Negara. Kita harus tunjukkan teladan, sebarkan semangat dan nilai kebersamaan secara muhibah dalam masyarakat majmuk agar Malaysia kekal harmoni, aman dan progresif,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Kok Yew tegaskan, semangat Malaysia Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan usaha bersepadu untuk menjadikan segala perancangan untuk Malaysia lebih bersifat manusiawi dan universal.

“Matlamat kita adalah untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara lebih makmur dan maju melalui kepercayaan antara satu sama lain, telus dan mempunyai ikatan kerjasama yang padu.

“Kestabilan politik sangat mustahak dan perlukan kerjasama erat antara semua parti gabungan Kerajaan Perpaduan, termasuk pembangkang untuk sama-sama menghayati Perlembagaan dan demokrasi Raja Berparlimen, ini bukan masa untuk bergaduh,” ujarnya.

Kok Yew turut menegur kerajaan negeri pimpinan Sanusi yang dilihat lebih gemar berseteru dengan kerajaan Persekutuan dalam pelbagai isu.

“Kedah tidak sepatutnya tunjukkan sikap seteru dengan negeri jiran (Pulau Pinang) atau kerajaan Persekutuan. Tunjukkan semangat federalisme yang tinggi untuk pastikan kita menang-menang bersama negeri jiran selain beroleh bantuan Persekutuan untuk lonjakkan industri ekonomi negeri,” jelasnya.