Perkemas Tabika Kemas Pra-Tahfiz selari pendekatan Pasti sejak 1980-an – Hashim

Hashim (kanan) menerima kunjungan mahabbah Dusuki (tengah) yang turut disertai Wan Ji.
Hashim (kanan) menerima kunjungan mahabbah Dusuki (tengah) yang turut disertai Wan Ji.
A
A
A

SHAH ALAM – Usaha pemimpin UMNO memperkemas pelaksanaan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Pra-Tahfiz dilihat selari dengan pendekatan pendidikan awal kanak-kanak yang telah lama dilaksanakan oleh Parti Islam Se-Malaysia melalui penubuhan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) sejak awal 1980-an.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Pasti yang ditubuhkan lebih empat dekad lalu mengaplikasikan sistem pendidikan Islam berpandukan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK).

Menurut beliau, perkara itu dikongsikan ketika menerima kunjungan mahabbah Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dusuki Ahmad bersama penceramah, Dr Wan Ji Wan Hussin pada Isnin.

“Datuk Dusuki memaklumkan bahawa usaha memperkemas Tabika Kemas Pra-Tahfiz ketika ini mempunyai persamaan dengan pendekatan pendidikan awal kanak-kanak yang telah lama dilaksanakan Pas menerusi Pasti,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hashim berharap Kementerian Pendidikan dapat meneliti semula cadangan kemasukan murid ke Tahun 1 bagi kanak-kanak berusia enam tahun bermula sesi akademik 2027.

Beliau berkata, perkara itu perlu dinilai secara menyeluruh termasuk mengambil kira isu kekurangan bilik darjah serta peranan dan rekod kejayaan institusi pendidikan prasekolah seperti Pasti dan Tabika Kemas.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, pertemuan berkenaan diharap dapat membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara Pas dan UMNO demi kepentingan bersama.

“Kerjasama ini penting bagi menjaga kepentingan Islam, bangsa Melayu, Dasar Pendidikan Nasional dan Dasar Bahasa Kebangsaan,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama sesama umat Islam merupakan tanggungjawab bersama sebagaimana dituntut dalam Islam.

Artikel Berkaitan:

“Seorang mukmin dengan mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang saling menguatkan antara satu sama lain,” katanya merujuk hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Hashim berkata, segala usaha tersebut akhirnya diserahkan sepenuhnya kepada ALLAH SWT.

Ringkasan AI

  • Usaha pemimpin UMNO memperkemas Tabika Kemas Pra-Tahfiz selaras dengan pendekatan Pas menerusi Pasti
  • Pasti menggunakan sistem pendidikan Islam dan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan
  • Usaha Tabika Kemas Pra-Tahfiz mempunyai persamaan dengan pendekatan pendidikan Pas
  • Pertemuan antara Pas dan UMNO diharap membuka ruang kerjasama bagi menjaga kepentingan Islam dan bangsa Melayu
  • Kerjasama antara Pas dan UMNO ditegaskan sebagai tanggungjawab bersama dalam Islam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!