'Sudah minta bentang di Parlimen, apa yang susah sangat?' - Hamzah

Hamzah
Hamzah
A
A
A

SHAH ALAM - Pembangkang mengulangi desakan supaya kerajaan memberi penjelasan di Parlimen berhubung dakwaan penyerahan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penjelasan tersebut penting berikutan perkara itu telah dilaporkan sendiri oleh Setiausaha Badan Pengelola Perbatasan dalam mesyuarat Komisi II Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Republik Indonesia pada 21 Januari lalu.

"Pembangkang sudah minta bentang dalam Parlimen. Jawab dan jelaskan sahaja di Parlimen. Apa yang susah sangat.

"Perdana Menteri jangan marah tak tentu hala dan stres, nanti kalau terlebih stres kerja lain pula jadinya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Ahli Parlimen Larut itu membuat gesaan berkenaan susulan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tiada keperluan untuk memberi sebarang penjelasan terhadap perkara tersebut di Parlimen.

Beliau sebaliknya menempelak sikap pembangkang yang disifatkan sanggup membuat fitnah serta menyalahgunakan kebebasan bercakap demi kepentingan politik.

Sebelum ini, Hamzah menggesa kerajaan membincangkan dakwaan berkenaan di Parlimen kerana membabitkan soal kedaulatan negara.

Media melaporkan tiga kampung di Kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara, didakwa kini termasuk dalam wilayah Malaysia susulan peralihan garisan sempadan antara Malaysia dan Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Pembangkang desak kerajaan jelaskan di Parlimen tentang dakwaan penyerahan tanah kepada Indonesia
  • Datuk Seri Hamzah Zainudin minta penjelasan tentang penyerahan 5,207 hektar tanah sebagai pampasan
  • Perdana Menteri didakwa enggan memberi penjelasan di Parlimen berhubung isu tersebut
  • Hamzah Zainudin gesa kerajaan jelaskan sebagai isu kedaulatan negara
  • Tiga kampung di Nunukan, Kalimantan Utara, didakwa termasuk dalam wilayah Malaysia susulan peralihan garisan sempadan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!