Rakyat Malaysia perlu syukuri nikmat keamanan, kebebasan - Agong

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bertitah ketika berangkat pada Konvokesyen ke- 20 Universiti Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) pada Sabtu. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bertitah ketika berangkat pada Konvokesyen ke- 20 Universiti Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, rakyat Malaysia perlu mensyukuri dan menginsafi hakikat nikmat keamanan serta kebebasan yang dikecapi negara, ketika ini.

Seri Paduka bertitah, nikmat keamanan dan kebebasan negara ketika ini tidak boleh dicemari dengan pelbagai polemik sehingga akhirnya menyemarakkan api permusuhan, kerana sengketa dan peperangan hanya akan meleburkan impian dan masa depan sesebuah negara, sehingga akhirnya mengundang kemusnahan kepada umat sejagat.

"Dunia sedang berhadapan dengan pelbagai krisis yang mempunyai kesan secara langsung terhadap masa hadapan generasi muda.

"Pada hemat Beta, krisis yang paling menzalimi masa hadapan generasi muda dan dunia ialah konflik bersenjata, persengketaan dan peperangan.

"... semenjak berakhirnya Perang Dunia Kedua dalam tahun 1945, dunia tidak pernah aman daripada konflik, persengketaan dan peperangan yang meletus di pelbagai pelusuk dunia.

"Walaupun jutaan nyawa telah terkorban, berlaku kemusnahan harta yang dahsyat, mencetuskan konflik kemanusiaan dan memusnahkan sistem ekologi dunia, namun manusia masih enggan mempelajari dan mengambil iktibar daripada sejarah lampau,” titah baginda dalam Titah Diraja pada Majlis Konvokesyen ke-20 Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di sini pada Sabtu.

Menzahirkan rasa dukacita dan kegusaran dengan konflik terkini di Palestin yang telah mengorbankan ribuan nyawa, Seri Paduka mendoakan agar ALLAH SWT melindungi dan mengurniakan kekuatan kepada rakyat Palestin, serta supaya bumi Palestin mendapat kedamaian.

Al-Sultan Abdullah yang juga Canselor UniKL bertitah, mengambil pengajaran daripada nasib yang menimpa rakyat Palestin, generasi muda dan belia negara perlu terus dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan.

Artikel Berkaitan:

Titah Seri Paduka, ini kerana pendidikan merupakan kekuatan yang boleh menitipkan nilai-nilai murni dan kesedaran untuk menolak sebarang bentuk keganasan.

"Selain daripada berterusan menimba ilmu pengetahuan setinggi yang mungkin, generasi muda negara hendaklah dididik serta diasuh dengan semangat patriotisme yang tinggi, untuk sentiasa berdiri teguh menjulang prinsip kesetiaan kepada Raja dan tanah air tercinta.

"Mereka juga hendaklah diterap dengan nilai-nilai demokrasi yang mempertahankan identiti bangsa, agama, kedaulatan negara dan keluhuran perlembagaan, agar tanah air tercinta tidak tergadai kepada kuasa asing, yang sentiasa menangguk di air yang keruh," titah Al-Sultan Abdullah.

Seri Paduka bertitah, generasi muda sebagai pewaris negara, perlu dibentuk dan dididik sebagai penggerak utama untuk mencorakkan masa hadapan negara bukan hanya cemerlang dalam pendidikan, malah juga memiliki kemahiran dalam pelbagai bidang sampingan lain selain berakhlak mulia serta terpuji.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan sukacita atas kejayaan UniKL melahirkan graduan Al-Hafiz pertama, menerusi pengajian Huffaz Profesional dalam majlis konvokesyen pada Sabtu.

"UniKL kini telah mengorak langkah dalam usaha membentuk generasi muda masa hadapan negara menerusi pendekatan baharu dalam melahirkan graduan teknologis huffaz, yang menggabungkan elemen kemahiran dan hafazan Al-Quran.

"Tahniah dan syabas Beta ucapkan," titah Seri Paduka.

Pada majlis sama Seri Paduka turut berkenan mengurniakan Anugerah Khas Ulul-Albab kepada Izdihar Amri Saari Al-Hafiz, yang merupakan sebahagian daripada 51 graduan program Huffaz Profesional UniKL.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan berangkat pada Konvokesyen ke -20 Universiti Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL ) hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang dan Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Ramlan Haron. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan berangkat pada Konvokesyen ke -20 Universiti Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL ) hari ini. Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang dan Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Ramlan Haron. - Foto Bernama

Anugerah yang julung kali diadakan itu, bertujuan mengiktiraf pencapaian graduan program Huffaz Profesional UniKL yang menghafaz 30 juzu' Al-Quran, lulus ujian hafazan dan menerima Sijil Tahfiz Malaysia dari Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ramlan Haron.

Hadir sama, barisan Pro-Canselor UniKL, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara); Datuk Seri Azhar Abdul Manaf yang juga Ketua Pengarah Mara dan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (Pengerusi UniKL).

Seramai 6,039 graduan terbabit dalam majlis konvokesyen bagi 2023, diadakan dalam lapan sesi bermula hari ini hingga 7 November. - Bernama