'Rakyat Malaysia perlu bersyukur'

Penderitaan penduduk Gaza akibat kekejaman rejim Zionis adalah iktibar buat seluruh rakyat Malaysia untuk berganding bahu menjaga dan mengekalkan keamanan negara. - Foto AFP (Gambar kecil: Khairulnizam)
Penderitaan penduduk Gaza akibat kekejaman rejim Zionis adalah iktibar buat seluruh rakyat Malaysia untuk berganding bahu menjaga dan mengekalkan keamanan negara. - Foto AFP (Gambar kecil: Khairulnizam)
A
A
A

KUANTAN - Penderitaan penduduk Gaza akibat kekejaman rejim Zionis adalah iktibar buat seluruh rakyat Malaysia untuk berganding bahu menjaga dan mengekalkan keamanan negara.

Timbalan Dekan Akademik dan Penyelidikan di Kolej Pendidikan Berterusan (CCEd) Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Dr Khairulnizam Mat Karim berkata, keamanan sesebuah negara mudah dirobek sekiranya tiada perpaduan dan berlaku perpecahan dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara majmuk berbilang kaum dengan landskap politik pelbagai parti, perbezaan yang berlaku perlu sepatutnya dihormati dan bukan jadikan sebagai ‘modal’ perpecahan.

“Kita sepatutnya bersyukur berada dalam sebuah negara yang aman damai, berbeza dengan kehidupan rakyat Gaza di Palestin yang sentiasa diancam dan berada dalam ketakutan.

“Pengajaran di sebalik konflik Palestin-Israel ini paling utama adalah mensyukuri nikmati keamanan yang dikecapi dan jangan sesekali digadai semata-mata untuk kepentingan tertentu,” katanya pada Selasa.

Jelasnya, pengajaran lain di sebalik konflik itu adalah perjuangan mengangkat nilai kemanusiaan sebagai landasan penyatuan sejagat.

“Banyak negara termasuk bukan Islam bersolidariti untuk Palestin dan mengecam kezaliman Zionis.

“Ini isu kemanusiaan sejagat kerana ia melibatkan banyak nyawa tidak berdosa terkorban dan bukan pertembungan agama semata-mata,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, rakyat pelbagai kaum, agama dan fahaman politik boleh bersolidariti untuk penduduk Gaza atas dasar kemanusiaan melalui himpunan aman yang diadakan.