Al-Sultan Abdullah angkat kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Agong - Sultan Perak

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-67 di Istana Iskandariah, pada Ahad. - Foto: Bernama
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-67 di Istana Iskandariah, pada Ahad. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA KANGSAR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan penghargaan kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah atas kebijaksaan Seri Paduka Baginda mengangkat kemuliaan dan kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Agong.

Titah baginda, Al-Sultan Abdullah akan tercatat dalam sejarah menghadapi cabaran-cabaran berat yang tidak ada duluan ketika baginda bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

"Seri Paduka Baginda berurusan dengan empat orang Perdana Menteri dan empat pasukan Jemaah Menteri di samping memperkenankan lantikan tiga orang Perdana Menteri.

"Dalam tempoh pemerintahan baginda, dunia dilanda wabak Covid-19 yang memerlukan rakyat di negara ini dikenakan perintah kawalan pergerakan.

"Ketika berhadapan isu-isu penting negara, baginda telah mengamalkan budaya syura yang tinggi, menjemput Raja Pemerintah dari negeri-negeri untuk bermesyuarah mencari persefahaman dan kata sepakat dalam semangat gunung sama didaki - berat sama dipikul," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-67 di Istana Iskandariah di sini pada Ahad.

Baginda bertitah, Al-Sultan Abdullah telah membuktikan raja pemerintah bukan simbol perpaduan yang abstrak tetapi berperanan sebagai payung penyatuan dan pengikat yang hidup antara rakyat, negara serta takhta.

"Seri Paduka buktikan semasa bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah menjayakan program ‘Kembara Kenali Borneo’, bercemar duli berangkat mengadakan lawatan ke Sabah dan Sarawak selama 11 hari pada 3 hingga 13 September 2023.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat daripada pelbagai lapisan hidup berpanas serta berhujan, membuktikan rasa kasih dan taat setia menyambut keberangkatan baginda. Seri Paduka Baginda berdua berperanan bagaikan ibu dan ayah kepada setiap rakyat Malaysia.

"Sifat Seri Paduka berdua menyantuni rakyat bukan sahaja merapatkan hubungan rakyat dengan raja malah memperkukuhkan hubungan Sabah dan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan, juga meningkatkan penghargaan rakyat kepada institusi raja," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 telah mengisytiharkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 berkuat kuasa 31 Januari 2024.

Tambah baginda, berasaskan pengalaman dan keprihatinan terhadap rakyat jelata, Sultan Ibrahim berupaya menyuntik roh dan tenaga kepada takhta pemerintahan Kerajaan Persekutuan.

"Pendirian tegas dan konsisten Seri Paduka Baginda mengenai rakyat negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama serta pendirian menolak amalan perkauman dan mementingkan amalan toleransi antara kaum, kebebasan agama lain pastinya memberikan jaminan dan keselesaan bahawa rakyat akan diberikan perlindungan serta layanan secara adil, secara saksama.

"Semoga Seri Paduka dilimpahi nur dan petunjuk Ilahi meneruskan kesinambungan institusi Yang di-Pertuan Agong yang selama ini menjadi pelindung amalan demokrasi, tiang seri keharmonian rakyat dan nadi perpaduan negara, serta mempertemukan pemimpin dan rakyat jalan lurus yang mendapat keredaan Ilahi," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah (kanan) bersama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar (kiri) pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262 yang berlangsung di Istana Negara baru-baru ini. Foto: Bernama
Al-Sultan Abdullah (kanan) bersama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar (kiri) pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262 yang berlangsung di Istana Negara baru-baru ini. Foto: Bernama

Al-Sultan Abdullah bakal menamatkan pemerintahannya berkuat kuasa 30 Januari 2024 sebelum ini menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.