Cubaan 30 PATI keluar guna laluan tikus gagal

PATI yang ditahan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.
PATI yang ditahan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.
A
A
A

PORT DICKSON - Cubaan sebuah bot dipercayai membawa 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) keluar dari negara ini menggunakan laluan tikus gagal apabila ditahan pihak berkuasa di kedudukan 9.6 batu nautika Barat Daya Port Dickson pada Sabtu.

Kesemua mereka ditahan kira-kira jam 12.40 tengah malam selepas bos dinaiki terbalik disebabkan berlaku pertembungan dengan bot ronda Maritim Negara Melaka dan Negeri Sembilan ketika cuba melarikan diri.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Iskandar Ishak berkata, Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) telah mengesan satu kontek curiga dari laluan Skim Pemisah Trafik (TSS) menuju ke Tanjung Rhu, Sepang lebih kurang jam 10 malam pada Jumaat.

"Berikutan maklumat yang diterima, bot ronda Maritim yang sedang membuat rondaan Op Murni/Op Tiris Fasa 2.0 telah diatur ke lokasi dan berjaya mengesan bot suspek.

"Ketika Maritim cuba memintas bot tersebut, mereka bertindak memecut laju melarikan diri selain turut bertindak agresif," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan berlaku pertembungan antara bot suspek dan aset Maritim seterusnya menyebabkan bot suspek terbalik dan tenggelam.

Ujarnya, terdapat 30 penumpang di mana empat daripadanya ialah perempuan yang kesemuanya tidak memakai jaket keselamatan.

"Mereka kemudiannya diselamatkan oleh bot ronda Maritim dan diberi rawatan sewajarnya sebelum ditahan pada jam 12.40 tengah malam.

Artikel Berkaitan:

"Mereka dibawa ke Jeti Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan pemeriksaan lanjut mendapati 29 daripada mereka ialah warga Indonesia dan seorang warga Myanmar berusia antara 21 hingga 63 tahun," katanya.

Tambahnya, kesemua mereka juga gagal mempamerkan dokumen perjalanan yang sah.

Tegasnya, pihaknya sentiasa memantau dalam menyekat kemasukan PATI melalui lorong-lorong tikus di perairan negara ini.

"Kita turut percaya kegiatan berkenaan didalangi oleh ejen dari luar dan dalam negara sendiri.

"Sindiket ini dipercayai mengenakan caj perkhidmatan yang tinggi untuk mengaut keuntungan tanpa memikirkan faktor keselamatan penumpang," katanya.

Selain itu katanya, bagi membanteras kegiatan seperti itu, orang ramai diminta untuk membantu pihak Maritim Malaysia dengan menyalurkan sebarang maklumat salah laku di laut ke Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam.