Lelaki maut, tercampak keluar dari kereta langgar pokok

Keadaan kereta selepas melanggar sebatang pokok dalam kemalangan di Kampung Sungai Jaya, Bukit Gambir Tangkak, pada malam Sabtu. - Foto ihsan bomba
Keadaan kereta selepas melanggar sebatang pokok dalam kemalangan di Kampung Sungai Jaya, Bukit Gambir Tangkak, pada malam Sabtu. - Foto ihsan bomba
A
A
A

TANGKAK - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di kilometer (KM) 27 Jalan Gersik-Kundang Ulu di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu sekitar jam 11.30 malam.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan berkenaan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Gen2 yang dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar sebatang pokok di kanan bahu jalan menyebabkannya remuk di bahagian hadapan dan kanan.

Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar sebatang pokok di Kampung Sungai Jaya, Bukit Gambir pada malam Sabtu. - Foto ihsan bomba
Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar sebatang pokok di Kampung Sungai Jaya, Bukit Gambir pada malam Sabtu. - Foto ihsan bomba

“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta berkenaan yang merupakan seorang lelaki berusia 21 tahun dari Sungai Mati, Ledang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan juga mendapati pemandu kereta bebas daripada pengaruh alkohol dan dipercayai memandu laju hingga menyebabkannya hilang kawalan dan terbabas,” katanya.

Tambah Roslan, kereta terbabit akan dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan dan bedah siasat akan dijalankan di Unit Forensik Hospital Tangkak.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Penguasa Bomba Kanan II Mohd Khalid Mohd Aris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 10.35 malam.

Susulan itu katanya, seramai tujuh anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Mangsa, Hoo Wei Jie yang berusia 21 tahun tercampak keluar dari kereta.

“Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi selesai pada jam 11.37 malam," katanya.