Dua bot nelayan Vietnam ceroboh perairan negara ditahan

Anggota Maritim memeriksa bot nelayan Vietnam yang ditahan pada kedudukan 155 dan 156 batu nautika dari Kuala Terengganu.
Anggota Maritim memeriksa bot nelayan Vietnam yang ditahan pada kedudukan 155 dan 156 batu nautika dari Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menahan dua buah bot nelayan Vietnam yang dikesan menceroboh perairan negara pada Jumaat.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, bot berkenaan ditahan sekitar jam 8.30 dan 9 pagi oleh kapal Maritim yang sedang melaksanakan Op Naga Barat pada kedudukan 155 dan 156 batu nautika dari Kuala Terengganu.

"Ketika rondaan kita mengesan dua buah bot yang mencurigakan dipercayai bot nelayan asing Vietnam sedang melakukan aktiviti penangkapan hasil laut di perairan negara tanpa kebenaran.

"Hasil pemeriksaan, seramai 21 kru termasuk tekong telah ditahan dan bot termasuk hasil tangkapan laut, bekalan diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai hampir RM3 juta turut dirampas," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Khairulanuar berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke jeti Maritim Negeri Terengganu bagi menjalani saringan Covid-19 sebagai langkah pencegahan.

"Kes ini akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim.

"Kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim diperlukan untuk melapor sebarang maklumat dan salah laku yang berlaku di perairan negara melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Terengganu di talian 09-6223657," katanya.

Artikel Berkaitan: