'Kita hadir di sini bukan untuk kalah 8-1...'

Pemain Perak, Shivan Pillay (kanan) mengasak Forestieri pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, pada Khamis.- Foto Bernama
Pemain Perak, Shivan Pillay (kanan) mengasak Forestieri pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, pada Khamis.- Foto Bernama
A
A
A

KEJAYAAN Perak FC mara ke pentas separuh akhir Piala Malaysia disifatkan pencapaian terbaik The Bos Gaurus musim ini sebelum dihentikan penyandang juara Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Khamis.

Malah, pengendali The Bos Gaurus, Yusri Che Lah juga mengakui jurang kualiti yang terlalu besar antara anak buahnya berbanding barisan pemain Esteban Solari dalam aksi di laman Harimau Selatan tersebut.

Biarpun begitu Yusri, bersyukur apabila pemain Perak berjaya membuktikan kemampuan untuk memacu pasukan tersebut hingga ke peringkat empat terbaik kejuaraan tersebut.

“Alhamdulillah, kita hadir di sini bukan untuk kalah 8-1, kalau saya tak nak kalah 8-1 saya sudah main parkir bas daripada awal. Jadi pemain-pemain tidak harus malu apabila tewas kepada pasukan yang lebih kuat.

"Saya syukur apabila pasukan Perak berjaya dapat sampai ke tahap ini, inilah kemampuan terbaik pemain-pemain pasukan kami.

"Secara realiti semua tahu jurang kualiti antara pasukan Perak dengan JDT cukup besar. Kita beraksi dengan pasukan dan pemain yang ‘intelligent‘, kami berusaha imbanginya namun kita tahu setakat mana kekuatan kami,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

JDT sebelum itu melangkah ke pentas final Piala Malaysia ke keempat berturut-turut setelah berpesta gol menewaskan Perak FC 8-1 dalam perlawanan separuh akhir kedua.

Gol Harimau Selatan dijelmakan Arif Aiman Hanapi (m-12), Bergson Da Silva (m-27, m-60), Heberty Fernandes (m-31, m-90' 1), Fernando Forestieri (m-52), Syafiq Ahmad (m-62, m-77) manakala jaringan saguhati Perak dihasilkan Firdaus Fuad (m-90 2).

Artikel Berkaitan:

Keputusan itu menyaksikan JDT mara ke perlawanan akhir dengan kemenangan agregat 12-2 selepas menang 4-1 pada aksi sparuh akhir pertama di Ipoh, 19 Oktober lalu.

Pada masa sama Yusri menyifatkan setiap jurulatih akan kecewa apabila pasukannya tewas dengan jumlah jaringan yang besar, namun dia menganggap keputusan itu satu pengalaman kepada pemain-pemain pemain muda Perak.

"Pemain-pemain Perak telah memberikan yang terbaik dan semua pemain perlu ambil iktibar sebagai satu pengalaman yang baik,” katanya.