KL City nafi tunggakan gaji pemain empat bulan

KL City mengesahkan pemain mereka hanya tertunggak dua bulan gaji dan pihak pengurusan sedang cuba menyelesaikannya.
KL City mengesahkan pemain mereka hanya tertunggak dua bulan gaji dan pihak pengurusan sedang cuba menyelesaikannya.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) menafikan kononnya berlaku tunggakan gaji selama empat bulan dalam kalangan pemain Kuala Lumpur (KL) City FC seperti yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.

Presiden KLFA, Khalid Abdul Samad berkata, hanya gaji Ogos dan September yang belum dilunaskan buat pemain 'The City Boys' dan akan diselesaikan dalam masa terdekat.

"Berdasarkan kenyataan dikeluarkan baru-baru ini oleh sebuah akhbar tempatan yang menyatakan kami tidak membayar gaji pemain selama empat bulan, itu agak tersasar jauh daripada kebenaran.

"Kami tidak pernah lebih dua bulan tidak bayar gaji, (sekarang ini) Ogos dan September sahaja.

"Gaji Ogos akan dibayar selewat-lewatnya esok dan gaji September tarikh ditetapkan hingga 7 November ini," katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.

Khalid memaklumkan pihaknya berusaha keras memastikan pengurusan pasukan sentiasa berada dalam landasan terbaik untuk mengurus segala kebajikan terutamanya pembayaran gaji kepada pemain serta kakitangan KL City FC.

Walaupun sedang dihimpit isu tunggakan gaji, Khalid positif terhadap kemampuan skuadnya menempah tiket ke final Piala Malaysia seterusnya menjulang piala berprestij itu seperti pada edisi 2021.

Beliau yakin skuad The City Boys yang akan turun menentang Terengganu pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin esok, akan menampilkan permainan bertenaga setelah pada aksi pertama menyaksikan skuad kendalian Nenad Bacina itu tewas 1-2 di laman sendiri.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengurus Besar KL City FC Stanley Bernard memohon maaf kepada barisan pemain yang terkesan dengan isu tunggakan gaji berkenaan dan akan menggunakan segala kaedah untuk menyelesaikannya.- Bernama