JDT bermotivasi berdepan Yob

Solari - Foto FB Johor Southern Tigers
Solari - Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

KEMENANGAN 2-0 ke atas Kelantan United FC (KUFC), Sabtu lalu dilihat sebagai motivasi terbaik buat Johor Darul Ta’zim (JDT), menjelang saingan separuh kedua Piala Malaysia berdepan Perak FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Khamis.

Menurut pengendali skuad Harimau Selatan, Esteban Solari, biarpun memiliki kelebihan jaringan hasil kemenangan 4-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Perak, Ipoh, 19 Oktober lalu, skuad kendaliannya itu masih perlu memberikan aksi terbaik pada aksi timbal balik berkenaan.

Justeru menurutnya, kesemua pemain dilihat perlu terus fokus bagi mengharungi aksi tersebut dalam usaha meraih kejayaan dan menempah slot ke pentas final di hadapan penyokong sendiri.

“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, kita biasanya akan mengambil (fokus), satu perlawanan demi satu perlawanan kerana ia merupakan motivasi kita untuk perlawanan seterusnya.

“Dalam hal ini, fokus kami ketika ini adalah bagi mengharungi perlawanan dengan Perak (FC) dan berharap dapat memberikan aksi yang terbaik.

“Ia (aksi terbaik), penting untuk pasukan ini terus kekal konsisten, bermotivasi, bertenaga dan kekal fokus; bukan sahaja untuk perlawanan ini (separuh akhir), tetapi juga untuk perlawanan-perlawanan akan datang,” katanya.

Untuk rekod, JDT menang 4-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Perak hasil jaringan Oscar Aribas pada minit ke-7, Arif Aiman Hanapi (min-12) sebelum dua pemain gantian, Shahrul Saad dan Nazmi Faiz Mansor masing-masing meledak jaringan pada minit ke-76 dan min-81.

Mengulas mengenai persiapan pasukan, Solari berkata, segala persiapan menjelang aksi separuh akhir tersebut berjalan lancar ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, kesemua pemain juga kelihatan bersemangat menjelang aksi berdepan skuad The Bos Gaurus itu.

“Sebenarnya, sejak dahulu lagi kami sentiasa menyifatkan setiap perlawanan sebagai aksi final dan ini membuatkan kesemua pemain memberikan yang terbaik ketika beraksi.

“Malah, setiap hari kami cuba menjadi pasukan kami sebagai yang terbaik dan inilah perkara yang sering ditekankan agar pasukan ini mampu terus menjadi pasukan terbaik di negara ini selain terus berkembang pada masa akan datang,” katanya.