Untung berganda faktor seleweng diesel subsidi menjadi-jadi

Muhammad Zahir (kanan) menunjukkan tangki IBC berisi diesel yang dirampas dalam serbuan di Negeri Sembilan.
Muhammad Zahir (kanan) menunjukkan tangki IBC berisi diesel yang dirampas dalam serbuan di Negeri Sembilan.
A
A
A

SEREMBAN - Mampu memperoleh keuntungan berganda dilihat menjadi faktor sindiket penyelewengan diesel subsidi semakin menjadi-jadi di Negeri Sembilan apabila 69 kes direkodkan tahun ini berbanding 27 kes tahun lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, sepanjang penguatkuasaan Op Tiris yang dilaksanakan tahun ini sebanyak 866,982 liter diesel bernilai RM2.5 juta telah dirampas.

"Berdasarkan siasatan kita, sindiket ini dipercayai membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter untuk dijual kepada pihak ketiga pada harga antara RM3.90 ke RM4.30 seliter berbanding harga ditetapkan untuk pihak industri iaitu sekitar RM3.70 ke RM4.50 seliter.

"Mengambil kira perbezaan harga itu, sindiket mampu menjana keuntungan besar dan kita tidak menolak mereka ini menjual kepada pihak industri," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di Kawasan Perindustrian Gala di sini pada Khamis.

Muhammad Zahir ditemui media selepas serbuan di Kawasan Perindustrian Gala di Seremban pada Khamis.
Muhammad Zahir ditemui media selepas serbuan di Kawasan Perindustrian Gala di Seremban pada Khamis.

Menurutnya, tahun ini juga sebanyak 71 individu telah ditahan untuk siasatan lanjut dan sebanyak RM163,500 kompaun dikeluarkan.

Beliau juga tidak menolak sindiket ini bekerjasama dengan pengusaha stesen minyak, namun siasatan lanjut masih dilakukan.

"Modus operandi digunakan ialah beli diesel di stesen minyak dan membawanya ke stor haram untuk dipindahkan ke dalam lori tangki.

Artikel Berkaitan:

"Hasil siasatan kita mendapati kegiatan sindiket ini berlaku tanpa mengira waktu," katanya.

Sementara itu berkenaan serbuan membabitkan Perisikan Siasatan Khas (PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman kira-kira jam 1 pagi, sebanyak 6,600 liter diesel dianggarkan bernilai RM14,190 telah dirampas.

Ujarnya, turut dirampas tiga lori, 10 tangki IBC dan peralatan yang digunakan bagi tujuan penyelewengan diesel.

"Turut dirampas wang tunai RM88,000 yang menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM161,090.

"Premis dipercayai disewa dan sudah beroperasi selama sebulan sebagai stor haram tempat pengumpulan dan penyimpanan sementara diesel bagi tujuan diseleweng," katanya.

Keuntungan berganda dilihat menjadi faktor sindiket penyelewengan diesel subsidi semakin menjadi-jadi di Negeri Sembilan.
Keuntungan berganda dilihat menjadi faktor sindiket penyelewengan diesel subsidi semakin menjadi-jadi di Negeri Sembilan.

Tambahnya, lima lelaki warga tempatan berusia 17 hingga 40 tahun ditahan kerana disyaki melanggar Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Dalam satu lagi serbuan di Port Dickson, beliau berkata, pihaknya membuat pemeriksaan ke atas sebuah lori yang sedang membuat pengisian diesel di sebuah stesen minyak.

"Hasil pemeriksaan menemui sejumlah 6,000 liter cecair disyaki diesel disimpan di dalam lapan tangki IBC di dalam lori.

"Turut ditemui adalah dua unit pam penyedut yang dipasang secara ubah suai pada lori itu. Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM42,900.00. Pemandu lori seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun ditahan," katanya.