Projek selenggara tandas sekolah selesai - MB Negeri Sembilan

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Projek penyelenggaraan tandas membabitkan 169 sekolah di Negeri Sembilan telah siap sepenuhnya pada hujung bulan lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, hasil perbincangan dengan Pejabat Pembangunan Negeri memaklumkan projek yang melibatkan kira-kira 70 hingga 80 kontraktor itu berjalan dengan baik.

"Negeri ini telah mencapai sasaran iaitu kerja baik pulih tandas ini telah selesai dengan melibatkan 169 sekolah.

"Tahniah kepada kontraktor yang telah menjalankan tanggungjawab ini sebaiknya. Hari itu ada satu kontraktor lewat mulakan kerja tetapi mereka dapat menyelesaikan mengikut masa ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Menurut kenyataan Pejabat Pembangunan Negeri, projek itu diselaraskan dan dipantau rapi oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Pejabat Pembangunan Negeri dan dilaksanakan oleh Pejabat Daerah.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan supaya memastikan kawasan sungai dan tali air di negeri ini berada dalam keadaan baik.

"Kita sentiasa ambil maklum, ada beberapa kawasan hotspot banjir, kita telah minta JPS siap sedia,maksudnya kalau kawasan itu hotspot lihat apa yang boleh kita segerakan untuk mengelakkan daripada berlaku banjir," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!