Polis Marin rampas 60,700 liter diesel subsidi di Masai

Beberapa tangki yang digunakan untuk kegiatan memproses dan menyimpan diesel bersubsidi dirampas dalam serbuan di sebuah premis Masai, Johor Bahru pada Selasa.
Beberapa tangki yang digunakan untuk kegiatan memproses dan menyimpan diesel bersubsidi dirampas dalam serbuan di sebuah premis Masai, Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan 10 lelaki termasuk tiga warga asing dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi membabitkan rampasan bahan api itu berjumlah 60,700 liter di sebuah premis di Masai di sini pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar berkata, kesemua lelaki berusia 29 hingga 61 tahun itu, ditahan kira-kira pada jam 1.35 petang oleh sepasukan Polis Marin Wilayah Dua.

"Premis terbabit dipercayai dijadikan sebagai tempat penyimpanan dan memproses bahan bakar itu. Manakala, kesemua individu yang ditahan itu merupakan pemandu lori dan pekerja di premis terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, minyak diesel yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM149,929 itu antaranya ditemui dalam 14 tangki petak (square tank) yang diletakkan di dalam tiga buah lori pelbagai jenama, manakala tujuh lagi tangki petak dijumpai di premis tersebut.

"Selain itu, sebuah lori tangki, dua buah skid tank dan satu tangki besi di dalam sebuah lori yang masing-masing berisi bahan bakar itu serta 11 buah telefon bimbit turut dirampas,” katanya.

Beliau berkata, keseluruhan rampasan termasuk minyak diesel terbabit dianggarkan bernilai RM1.16 juta.

Kumar berkata, hasil siasatan mendapati lima warga tempatan yang ditahan turut mempunyai empat rekod jenayah lampau dan satu rekod dadah.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 dan Seksyen 12 Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama