'Kos meningkat, ada kewajaran tarif air di Negeri Sembilan dinaikkan' - Aminuddin

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan berpendapat ada kewajaran menaikkan kadar tarif air pada masa ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia mengambil kira kos operasi yang semakin meningkat selain tiada kenaikan dibuat selama lebih 20 tahun di negeri ini.

"Kita sedia maklum sudah berpuluh tahun kita (Negeri Sembilan) tidak naikkan tarif air sedangkan kos operasi antaranya untuk rawatan air, penggantian paip, kerosakan yang berlaku serta lain-lain terus meningkat.

"Saya rasa semua negeri dalam keadaan cukup tertekan kerana dengan keuntungan yang kecil, malah ada yang mengalami kerugian disebabkan perlu menanggung kos operasi yang tinggi," katanya ketika ditemui pada majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2023 peringkat Negeri Sembilan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad yang memaklumkan kini dalam proses mengangkat Kertas Jemaah Menteri berhubung pelaksanaan mekanisme penetapan tarif air yang baharu bagi dimuktamadkan pada peringkat kabinet.

Aminuddin (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang sempena Sambutan Hari Alam Sekitar 2023 peringkat Negeri Sembilan.
Aminuddin (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang sempena Sambutan Hari Alam Sekitar 2023 peringkat Negeri Sembilan.

Aminuddin berkata, sekiranya mekanisme itu dipersetujui, operator air di setiap negeri dibenarkan menentukan sendiri mekanisme penetapan tarif air tanpa perlu persetujuan peringkat Persekutuan.

Tambah beliau, jika kadar tarif air dinaikkan sekalipun, ia masih pada paras berpatutan dan tidak akan membebankan pengguna.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Aminuddin berharap masyarakat memahami keperluan tersebut sekali gus memastikan industri air dapat berjalan dengan baik.

"Kita tidak boleh lagi berpuluh tahun tiada kenaikan kerana kos kita terus meningkat, yang mana ketika ini tarif elektrik telah pun dinaikkan tetapi tidak kepada air.

"Jadi masyarakat di luar sana harus faham kenapa kita naikkan kerana itu antara yang kita tidak mampu lagi hadapi dan pada masa sama Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) juga perlu membayar gaji pekerja mereka," katanya.

Tambah Aminuddin, Sains juga perlu menanggung sekurang-kurangnya RM2 juta setiap bulan hanya untuk membaik pulih kerosakan paip.

Jelasnya, tanpa adanya sumber kewangan yang mencukupi, agak sukar untuk syarikat terbabit menyediakan peruntukan bagi tujuan itu.

"Hendak ganti keseluruhan paip kita tidak mampu. Ini paip yang berusia 40 ke 50 tahun dulu. Kalau tiada kewangan yang baik dan syarikat kewangan yang boleh bagi pinjaman, bagaimana nak buat penggantian segera.

"Jika tidak paip akan rosak dan akhirnya pengguna dapat bekalan air tidak menentu, seperti dulu ada kekangan untuk membayar pada kontraktor sehingga mengambil masa bertahun-tahun dan itu sebabnya hari ini kita terpaksa," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya menggunakan air secara berjimat misalnya mengambil pendekatan menadah air hujan untuk kegunaan luar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!