Malbatt 850-11 ke Lubnan bukan terlibat konflik Palestin-Israel

Antara anggota ATM yang terlibat dalam MALBATT 850-11.
Antara anggota ATM yang terlibat dalam MALBATT 850-11.
A
A
A

SUBANG - Penghantaran pasukan Malbatt 850-11 oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Lubnan bertujuan melaksanakan misi pengaman dan kemanusiaan di negara berkenaan bukannya untuk terbabit dalam konflik antara Palestin serta Israel.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penghantaran pasukan Malbatt 850-11 itu adalah seperti yang dijadualkan selepas pelaksanaan misi kemanusiaan Malbatt 850-10 berakhir.

"Jangan pula ada yang anggap dan kata tujuan penghantaran Malbatt 850-11 ini adalah untuk terbabit sama dalam situasi konflik antara Palestin dan Israel, itu tidak benar," katanya dalam Majlis Penghantaran Kumpulan Pertama Batalion Malbatt 850-11 di sini, pada Khamis.

Mohamad berkata, seramai 854 pegawai dan anggota termasuk 30 pegawai dan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan seorang pegawai awam kewangan Kementerian Pertahanan terlibat dalam misi tersebut.

"Pasukan Malbatt 850-11 akan diaturgerakkan ke Lubnan secara berperingkat untuk menggantikan Malbatt 850-10 yang akan menamatkan operasi setelah bertugas selama setahun di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sana," katanya.

Mohamad berkata, penglibatan ATM itu merupakan pengiktirafan dan kepercayaan masyarakat antarabangsa yang berterusan terhadap kredibiliti, kewibawaan dan profesionalisme ATM.

"Setakat ini situasi keselamatan pasukan pengaman kita (ATM) boleh dianggap terkawal selepas kedudukan dua kem Malbatt 850, di Tibnin dan Marakah di Lubnan, berada jauh dari kawasan persempadanan antara Lubnan dan Israel.

Artikel Berkaitan:

Antara anggota ATM yang terlibat dalam Malbatt 850-11.
Antara anggota ATM yang terlibat dalam Malbatt 850-11.

"Berbanding kem yang diduduki oleh pasukan pengaman dari lapan negara yang turut ditugaskan di Lubnan, kedudukan kem Malaysia di bahagian belakang pasukan pengaman yang bertugas di sempadan," ujarnya.

Mohamad berkata, risiko keselamatan terhadap ancaman dan serangan boleh dikatakan agak kurang namun Malbatt 850-11 diingatkan untuk sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam melaksanakan penugasan mereka.

Mengulas mengenai situasi keselamatan Malbatt 850-10 yang akan kembali ke tanah air dalam masa terdekat selepas melaksanakan penugasan selama 12 bulan, Mohamad berkata, terdapat beberapa situasi berlaku sejak konflik Palestin dan Israel bermula pada 7 Oktober lalu.

"Berdasarkan maklumat yang diterima sejak konflik Palestin dan Israel bermula, pegawai dan anggota kita (ATM) akan bersembunyi dalam kubu di kem masing-masing apabila terdapat amaran serangan.

"Namun ia tidak membabitkan sebarang kejadian buruk tidak diingini," katanya.

Mohamad berkata, penglibatan ATM di peringkat antarabangsa membuktikan bahawa Malaysia komited dalam melaksanakan tanggungjawab serta tugas pengaman dan memberi bantuan kemanusiaan demi memastikan aspirasi keamanan sejagat dapat direalisasikan.

"Penyertaan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dalam misi ini juga telah meningkatkan hubungan sedia ada yang terjalin serta membuktikan bahawa anggota dari kedua-dua negara dapat berganding bahu dengan baik, bukan sahaja menerusi aktiviti eksesais dua hala antara negara," katanya.