ATM siap siaga sekiranya ada mandat ke Palestin - Mohamad

Mohamad Hassan - Foto Bernama
Mohamad Hassan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap-siaga sekiranya terdapat sebarang keputusan atau mandat untuk digerakkan sebagai tentera pengaman ke Palestin, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurutnya, ia termasuk persediaan pasukan pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) negara yang bertugas di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), sekiranya diperlukan segera antaranya bagi tujuan evakuasi rakyat Malaysia di kawasan terkesan.

"Biarpun sehingga kini tiada sebarang keputusan mengenai perkara itu daripada PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu), kita tetap bersedia malah kementerian ikuti rapat perkembangan di Palestin serta bekerjasama dengan Kementerian Luar.

"Jadi kalau kerajaan kata hantar tentera ke Palestin, kita akan ikut, kerana sebarang keputusan untuk itu bukan dalam bidang kuasa Kementerian Pertahanan, sebaliknya tertakluk pada Kementerian Luar,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad berkata, sebarang keputusan untuk menghantar tentera ke Palestin secara unilateral memerlukan penilaian rapi daripada pelbagai pihak termasuk negara sekitar di kawasan yang bergolak.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, beliau akan membawa isu berkaitan Palestin pada sesi perbincangan dengan Menteri Pertahanan ASEAN pada minggu depan sebagai topik sampingan bagi mendengar suara negara-negara rantau itu berkaitan konflik berkenaan.

"Kita nak dapatkan suara ASEAN, kerana kita ada satu pegangan iaitu ASEAN Centrality, sekiranya semua negara ASEAN bersetuju untuk kita hantar tentera ke Palestin di bawah panji PBB,” katanya.

Mohamad berkata, sehingga kini Malaysia sentiasa komited memberi sokongan bagi mencapai keamanan sejagat menerusi panji PBB dan ia terbukti melalui penglibatan dalam 37 misi, sama ada sebagai tentera pemerhati atau pengaman.

Artikel Berkaitan:

"... antaranya di Congo, Somalia, Namibia, Kemboja, Bosnia Herzegovina, Timor Leste dan yang terkini di Lubnan, malah kini ATM masih terlibat dalam lima misi antarabangsa di bawah PBB,” katanya.

Sementara itu menjawab celahan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) sama ada kerajaan bercadang menghantar tentera pengaman ke Palestin melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Mohammad berkata, perkara itu diserahkan untuk pertimbangan Wisma Putra memandangkan ia melibatkan negara lain.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan memulakan proses perolehan aset baharu.

Beliau berkata, antaranya melibatkan perolehan 60 kereta perisai infantri buat TDM, tiga kapal misi pesisir (LMS) dan kerja-kerja memasang pulih (refit) dua aset Kapal Selam untuk TLDM serta 12 helikopter baharu untuk kegunaan TUDM.

"Keselamatan persempadanan pula akan terus diperkukuh dan dipertahan dengan pembinaan tujuh Pos Imbangan antaranya di Melikin dan Pa’ Daleh, Sarawak,” katanya.

Menyentuh mengenai perkembangan kapal tempur pesisir (LCS), Mohamad berkata, pembinaannya diteruskan atas dasar ia amat diperlukan bagi memperkukuh dan meningkatkan keupayaan operasi TLDM.

"Kementerian beri tumpuan sepenuhnya untuk melangkah ke hadapan, pastikan LCS ini siap ikut jadual seperti kontrak jadual keenam yang ditandatangani pada Mei lalu,” katanya. - Bernama