Bajet 2024 perlu lulus untuk keabsahan kerajaan

Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bajet 2024 perlu diluluskan dalam pengundian pada petang Khamis bagi mendapatkan keabsahan Kerajaan Perpaduan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kelulusan itu penting supaya kerajaan sedia ada dapat meneruskan perancangan sedia ada.

Menurut beliau, jika keadaan menjadi sebaliknya akan memberi kesan tidak baik termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim akan hilang keabsahan atau legitimasi sebagai Perdana Menteri.

"Kalau senario buruk itu terjadi di mana sebuah kerajaan gagal memenangi majoriti mudah dalam pengundian belanjawan negara, maka bukan sahaja Perdana Menteri terpaksa berundur tetapi seluruh Jemaah Menteri secara konvensyen dan Undang-Undang Perlembagaan perlu meletakkan jawatan.

"Demikianlah pentingnya Belanjawan 2024 ini diluluskan dalam pengundian pada petang ini supaya Kerajaan Perpaduan Madani pimpinan Anwar Ibrahim ini tidak tumbang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, Anwar yang juga Menteri Kewangan akan menggulung belanjawan kementerian itu di peringkat dasar pada jam 6 petang Khamis dan dua sesi undian akan diadakan selepas itu.

"Undian ini bukan sebarang undian. Undian ini untuk Belanjawan Kerajaan Perpaduan Madani bagi tahun 2024 sebanyak RM395.80 bilion.

"Undian pertama ialah undian untuk bacaan kedua Rang Undang-Undang Perbekalan 2024.

Artikel Berkaitan:

"Ini ujian pertama pentadbiran Anwar kena hadapi dengan jumlah ahli Parlimen pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN) yang besar seramai 74 orang, manakala blok Kerajaan Perpaduan Madani tidak ada suara majoriti minimum yang dikehendaki iaitu 148 orang," katanya.

Katanya, jika kerajaan Anwar gagal melepasi undian pertama itu, maka perkara tersebut adalah satu malapetaka kepada kerajaan Madani.

Beliau berpendapat, bajet tersebut yang dibentangkan Anwar boleh melepasi undian pertama dengan mudah sekiranya semua ahli Parlimen penyokong kerajaan hadir di Parlimen petang Khamis untuk mengundi menyokong Bajet 2024.

"Jika Belanjawan 2024 itu melepasi undian pertama, maka ia akan segera diikuti dengan undian yang kedua iaitu undian ke atas Usul Pembangunan diedar kepada Jawatankuasa Majlis.

"Sekali lagi Belanjawaan 2024 itu diuji," katanya.

Sekiranya dalam proses kedua-dua undian itu dijalankan secara undian suara, beliau merasakan tidak sukar bagi Kerajaan Perpaduan mendapatkan kelulusan berdasar suara mana yang lebih kuat menyokong.

"Tetapi jika blok pembangkang PN yang mempunyai jumlah ahli Parlimenbesar itu berdiri memohon undian belah bahagi, maka suatu 'moment of truth' akan berlaku iaitu sejauh mana kekuatan sebenar Kerajaan Perpaduan dan juga kekuatan PN dapat dihitung satu persatu.

"Jika undian belah bahagi berlaku petang ini, maka perhatian akan tertarik kepada dua ahli Parlimen iaitu Kuala Kangsar dan Labuan yang telah menyatakan secara terbuka sokongan mereka kepada pentadbiran Anwar.

"Apakah bentuk undian mereka berdua, menyokong atau menentang," soalnya.