Belanjawan 2024: Perak perhalusi duti hiburan

Saarani (berdiri, dua dari kiri) menyaksikan aktiviti yang dijalankan selepas merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah pada Sabtu.
Saarani (berdiri, dua dari kiri) menyaksikan aktiviti yang dijalankan selepas merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan meneliti cadangan supaya duti hiburan dikurangkan seperti diumumkan oleh kerajaan Persekutuan di dalam Belanjawan 2024.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penelitian perlu dibuat bagi menentukan sama ada pelaksanaan tersebut memberi kesan kepada pendapatan kepada kerajaan negeri atau sebaliknya.

Menurutnya, perkara itu akan dibincangkan secara terperinci di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri nanti.

"Jika dengan pengurangan itu boleh memberi peluang pendapatan lumayan kepada penggiat pelancongan atau penggiat seni atau beri peluang keuntungan lebih besar kepada tauke panggung wayang dan sebagainya, kita boleh pertimbangkan. Ia ada timbal balas.

"Tetapi, jika kita berkeras juga nakkan (kekal) duti hiburan tapi ia memberi kesan kepada pelancongan. Buat apa? Jadi sebab itu kita akan buat kajian terlebih dahulu dalam mesyuarat Exco melihat timbal balas di antara siapa lebih untung dan siapa lebih rugi dan lebih cantik ialah untung-untung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Saarani berkata, dalam masa sama kerajaan negeri ketika sedang menyiapkan teks Belanjawan Negeri 2024 dan sebarang keputusan akan diumumkan di dalam bajet tersebut.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 bersetuju menurunkan kadar duti hiburan bagi Wilayah Persekutuan daripada 25 peratus kepada kadar baharu sebagai mendukung usaha penggiat seni kreatif mengangkat sektor seni dan budaya tempatan.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyeru agar kerajaan negeri lain agar dapat mempertimbangkan pengurangan duti hiburan yang dilihat mampu menyokong perkembangan bakat-bakat kreatif tempatan di samping merancakkan lagi aktiviti pelancongan negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!