Belanjawan 2024: 16 ‘hadiah’ kerajaan untuk belia

Anwar membentangkan Bajet 2024 pada Jumaat.
Anwar membentangkan Bajet 2024 pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Golongan belia bakal menerima 16 insentif menarik daripada peruntukan kerajaan menerusi Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Bantuan itu diberikan untuk meningkatkan taraf hidup golongan belia, membentuk jati diri dan keperibadian anak muda, mengurangkan beban kewangan pelajar dan melahirkan lebih banyak bakat masa hadapan yang memenuhi keperluan industri.

Timbalan Yang Di Pertua Pertubuhan IKRAM Shah Alam, Mohd Hafiz Abd Hamid berpandangan Belanjawan 2024 ini sangat bagus dan komprehensif serta mengambil hampir keseluruhan elemen Politik, Ekonomi, Sosiologi, Teknologi, Lingkungan, dan Hukum (PESTEL)

“Bajet yang diperuntukkan kali ini cukup, dengan syarat tiada ketirisan dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia. Secara kasar, saya melihat bajet untuk belia kali ini lebih banyak berbanding tahun lalu.

“Malah, Belanjawan 2024 daripada kerajaan Madani ini jelas menunjukkan kerajaan mengiktiraf dan sentiasa meletakkan belia sebagai aset penting negara,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga dilihat banyak menyentuh isu melibatkan pendidikan dan sukan untuk mempertingkat institusi pengajian tinggi serta mempromosi Malaysia sebagai hab pembangunan industri e-sukan negara.

“Umumnya kita tahu antara isu utama belia adalah pekerjaan, pendidikan dan sukan. Oleh itu, 16 insentif yang kerajaan usahakan itu dilihat sedikit sebanyak membantu menyelesaikan masalah yang membelenggu anak muda di negara ini.

Dalam pada itu, kerajaan turut memberi peruntukan keseluruhan melibatkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berjumlah RM6.8 bilion pada tahun hadapan.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB), Mohammad Rizan Hassan berkata, peruntukan kerajaan terhadap TVET amat memberansangkan namun ia masih bersifat umum dan perlu diperincikan lagi kepada golongan sasar.

MOHD RIZAN
MOHD RIZAN

“Biarpun belanjawan memperuntukkan sejumlah dana yang besar kepada industri ini, saya berharap agar terdapat pengkelasan lebih jelas supaya semangat TVET di peringkat antarabangsa benar-benar mencapai objektif atau kumpulan sasar.

“Sekarang ini, TVET mempunyai kepelbagaian kumpulan yang disantuni seperti di peringkat pengajian tinggi. Contohnya di dalam usaha kita untuk melahirkan bakal tenaga kerja yang memiliki pengetahuan dan kemahiran Pendidikan Sains,Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kumpulan ini sepatutnya diklasifikasikan sebagai TVET tinggi.

“TVET juga dilihat sebagai pendekatan intervensi sosial atau kerjaya yang menekankan kepada TVET komuniti. Kita juga yakin dalam tempoh tujuh tahun, peruntukan yang ada untuk 2024 ini merupakan langkah awal dalam merancakkan aktiviti di peringkat lapangan,”katanya.

Belanjawan 2024 merupakan Belanjawan Madani kedua sebagai kesinambungan dasar yang menelusuri Kerangka Ekonomi Madani melibatkan tiga tumpuan utama iaitu tatakelola terbaik demi ketangkasan perkhidmatan, penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan dan peningkatan darjat hidup rakyat.

Belanjawan yang dibentangkan oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan itu merangkumi RM303.8 bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM90 bilion untuk pembangunan, dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

Berikut merupakan senarai 16 insentif kerajaan untuk belia:

1.Kadar maksimum Sumbangan Tunai Rahmah (STR) juga meningkat daripada RM3,100 kepada RM3,700, minimum STR iaitu untuk golongan belia juga meningkat daripada RM350 kepada RM500.

2. Kerajaan akan menyediakan ganjaran RM500 kepada golongan belia yang berjaya melakukan aktiviti kesukarelawanan dengan badan yang diiktiraf oleh kerajaan.

3. RM20 juta disediakan untuk Rakan Muda dalam memperbanyak pengisian program-program belia.

4. Skim TEKUN Belia Mobilepreneur turut diteruskan dengan peruntukan RM10 juta

bagi membiayai modal anak muda terlibat dalam perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal.

5. Bagi mempromosi Malaysia sebagai hab pembangunan industri esukan, RM30 juta diperuntukkan untuk menggalakkan syarikat atau studio permainan video antarabangsa melabur di Malaysia dalam pembangunan produk digital mereka bersama-sama bakat tempatan.

MOHD HAFIZ
MOHD HAFIZ

Pendidikan Tinggi

6. Kementerian Pendidikan Tinggi diperuntukkan RM16.3 bilion ketimbang RM15.3 bilion pada tahun ini.

7.RM250 juta disediakan untuk menggantikan dan meluaskan capaian Wi-Fi di semua universiti awam .Ini termasuk RM5 juta untuk melaksanakan projek pendigitalan hospital pengajar universiti.

8. Bagi meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan di institusi pendidikan tinggi (IPT), RM300 juta disediakan untuk menyelenggara dan membaiki prasarana di IPT serta menggantikan peralatan lama yang usang. Ini termasuk RM50 juta bagi perolehan peralatan di empat universiti teknikal Malaysia.

9. Bagi membina sikap bertanggungjawab dalam kalangan peminjam, Kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 14 Oktober 2023 sehingga 31 Mac 2024 dengan kadar berikut:

Pertama: Diskaun 10 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman;

Kedua: Diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan

Ketiga: Diskaun 15 peratus untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual

10. Bermula Januari 2024, yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan untuk tidak melebihi RM1,500 ringgit. Ini selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh PTPTN berjumlah RM1,500 kepada semua bakal pelajar baharu yang layak.

Sukan

11. RM50 juta disediakan bagi menyelenggara dan menaik taraf kemudahan belia dan sukan seluruh negara khususnya bagi prasarana yang daif.

TVET

12. Kerajaan memperuntukan keseluruhan melibatkan pendidikan TVET berjumlah RM6.8 bilion, tahun hadapan.

13. RM100 juta diperuntukkan bagi menyediakan pensijilan profesional yang diiktiraf industri kepada graduan TVET dan sebagai insentif kepada industri untuk bekerjasama dengan institusi TVET awam, tahun hadapan.

14. Kerajaan bersetuju untuk semua lantikan MySTEP disediakan tawaran mengikuti program peningkatan kemahiran di bawah platform MyFutureJobs. MyFutureJobs juga akan membuat padanan pekerjaan kepada mereka untuk membina kerjaya masa depan dan meraih pendapatan yang lebih tinggi.

15. Kerajaan bersetuju untuk terus menanggung bayaran ujian memandu bagi lesen motosikal kelas B2,e-hailing dan teksi untuk manfaat lebih 40,000 belia daripada keluarga kurang mampu.

16. Kerajaan Perpaduan telah memperkenalkan ikhtiar FLYsiswa iaitu bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi mengurangkan beban kewangan pelajar yang ingin pulang ke kampung halaman. Tahun hadapan, ikhtiar FLYsiswa akan diteruskan untuk manfaat hampir 60,000 pelajar daripada keluarga kurang mampu.