Khuatir Belanjawan 2024 tidak memadai tangani kesan berterusan Covid-19

Suhakam khuatir Belanjawan 2024 yang dibentangkan kerajaan tidak memadai untuk menangani kesan berterusan Covid-19, peningkatan golongan miskin bandar, kos sara hidup dan ketidakseimbangan golongan pertengahan. - Gambar hiasan
Suhakam khuatir Belanjawan 2024 yang dibentangkan kerajaan tidak memadai untuk menangani kesan berterusan Covid-19, peningkatan golongan miskin bandar, kos sara hidup dan ketidakseimbangan golongan pertengahan. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) khuatir Belanjawan 2024 yang dibentangkan kerajaan tidak memadai untuk menangani kesan berterusan Covid-19, peningkatan golongan miskin bandar, kos sara hidup dan ketidakseimbangan golongan pertengahan.

Menurutnya, belanjawan itu memberi penekanan kepada pelbagai aspek hak asasi manusia termasuk alam sekitar, pendidikan, kesihatan, undang-undang dan pembaharuannya, jaminan makanan, pekerjaan serta sokongan komuniti dan keselamatan sosial.

“Selain menyasarkan untuk mengukuhkan ekonomi negara, belanjawan turut memperuntukkan bajet bagi memperkasakan kumpulan rentan antaranya meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita dan mengukuhkan sistem perlindungan yang melibatkan warga emas.

“Ia turut meningkatkan akses kanak-kanak kepada pendidikan dan penyediaan peralatan serta kemudahan sokongan dan keperluan khas untuk orang kurang upaya (OKU). Bagaimanapun, dikhuatiri bajet ini tidak memadai,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sinar Harian melaporkan, Belanjawan 2024 Malaysia Madani yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada Jumaat adalah perbelanjaan terbesar dalam sejarah negara dengan peruntukan sebanyak RM393.8 bilion.

Peruntukan itu merangkumi RM303.8 bilion untuk belanja mengurus, RM90 bilion bagi pembangunan dan RM2 bilion sebagai simpanan luar jangka.

Tambah Suhakam, kerajaan disyor memperuntukkan bajet mencukupi untuk memudah cara pengumpulan data, merancang serta melaksanakan program komprehensif bagi menangani isu-isu berkaitan tanpa kewarganegaraan dengan lebih efektif dan sebaik-baiknya portfolio itu dikendalikan oleh agensi kerajaan yang khusus.

Sementara itu, Suhakam berharap Kementerian Kewangan (MOF) meneruskan penganjuran Jelajah Belanjawan 2024 yang berlangsung dari 21 Ogos hingga 22 September lalu pada tahun-tahun akan datang.

Artikel Berkaitan:

“Jelajah ini meliputi sesi libat urus dengan sektor industri penting, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.

“Penglibatan dalam pelan tindakan kewangan negara ini dapat menyokong perjuangan ke arah keadilan sosial, memperkasakan ekonomi sivil dan penumpuan kepada strategi pertumbuhan negara yang lebih inklusif dan Suhakam berharap dapat turut serta menyumbang dalam proses tersebut, ” ujarnya.