'Tak sempat selamatkan barang, air naik dengan cepat'

Keadaan air yang naik dengan cepat di Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor Bahru pada Rabu. Gambar kecil dari kiri: Ikhwana, Kusmawati, Norhaslinda
Keadaan air yang naik dengan cepat di Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor Bahru pada Rabu. Gambar kecil dari kiri: Ikhwana, Kusmawati, Norhaslinda
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penduduk Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram terutamanya di lorong Mak Piah di sini, mengakui terkejut melihat air naik dengan cepat di sekitar kawasan berkenaan dalam insiden banjir kilat di situ pada Rabu.

Tinjauan Sinar Harian ke kawasan berkenaan mendapati rata-rata mangsa turut mengakui tidak dapat menyelamatkan banyak barang-barang akibat air yang naik terlalu cepat akibat banjir kilat di kawasan berkenaan.

Menurut seorang penduduk di lorong Mat Piah di sini, Kusmawati Mohd Nor, 52, banjir di kawasan berkenaan berlaku sekitar jam 5 petang akibat hujan lebat.

Katanya, ketika itu kawasan rumahnya sudah dinaiki air yang yang dianggarkan setinggi satu meter.

"Dalam pukul 5 petang, jiran saya panggil dan beritahu air dah masuk ke rumah saya dari tepi.

"Saya tengok air laju saya ambil barang-barang yang mana sempat sahajalah dan dalam setengah jam ketua kampung telefon dan minta saya dan keluarga pindah ke PPS (pusat pemindahan sementara)," katanya.

Seorang lagi penduduk, Norhaslinda Hasan, 24, berkata, ketika kejadian di rumahnya, dia baru sahaja pulang dari kerja.

Malah katanya, dia juga tidak sempat menyelamatkan barang-barang di rumahnya apabila diminta berpindah sebelum air naik semakin tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Masa tu saya baru balik kerja apabila air naik secara tiba-tiba... hendak selamatkan barang macam gerobok (almari menyimpan makanan) bantal pun tak sempat.

"Selepas tu, saya dan keluarga diminta segera berpindah ke dewan ini.

"Bagaimanapun, saya berharap agar dapat balik sekejap ke rumah.

"Nak tengok rumah dan cuci-cuci sikit sebab mesti dah kotor," katanya.

Sementara itu bagi seorang suri rumah dari Kampung Batu 20, Ikhwana Abdul Rahman, 47, dia dan keluarga kini menantikan peluang untuk pulang ke rumahnya kerana difahamkan air sudah pun surut.

Katanya,dia yakin rumahnya itu pasti dalam keadaan tidak terurus akibat banjir kilat yang berlaku pada Rabu.

"Petang semalam, air memang naik dengan cepat dan dalam tempoh sekejap sahaja sudah dalam dua kaki lebih sampai atas paha.

"Barang pun tak banyak saya dapat ambil ketika bomba tiba dan bawa saya serta anak ke dewan ini.

"Suami dan anak saya seorang lagi dah keluar dahulu.

"Jadi, saya berharap mudah-mudahan air banjir ini terus surut supaya ramai yang dapat bersihkan rumah," katanya.