Dadah bernilai RM6.2 juta dilupuskan

Mazli (dua dari kanan) menunjukkan antara barangan kes yang akan dilupuskan dengan diserahkan kepada syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd di Bawah Jabatan Kualiti Alam Sekitar.
Mazli (dua dari kanan) menunjukkan antara barangan kes yang akan dilupuskan dengan diserahkan kepada syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd di Bawah Jabatan Kualiti Alam Sekitar.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM6.2 juta yang dirampas dalam serbuan di sekitar negeri itu dari 1996 hingga tahun ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, proses pelupusan dadah itu melibatkan 3,557 kes yang selesai menjalani tindakan undang-undang dan mendapat perintah mahkamah.

Katanya, barangan kes itu akan diserahkan kepada pihak syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd yang berdaftar di Bawah Jabatan Kualiti Alam Sekitar.

"Kesemua dadah yang dilupuskan ini antaranya membabitkan pil yaba (21,505.32 gram), syabu (23,578.10 gram), heroin (4,357.61 gram), ganja (562.92 gram), eramin 5 (621.38 gram), estacy (7.11 gram), psikotropik (198.54 gram), ketamin (189.4 gram) dan daun ketum (43.85 kg).

"Selain itu terdapat juga air ketum (896.33 liter) dan ubat batuk (63.98 liter)," katanya pada sidang akhbar di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini.

Mazli berkata, proses pelupusan perlu dijalankan oleh syarikat berdaftar memandangkan barang kes dadah adalah bahan buangan berjadual di bawah peraturan-peraturan kualiti alam sekeling (buangan berjadual) 2005.

Jelas beliau, ia juga menunjukkan ketelusan dan integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan tiada barang kes dadah disalahguna.

Dalam pada itu Mazli berkata, sepanjang tahun ini sebanyak 739 kes di bawah kategori bekalan melibatkan Seksyen 39b, 39a(2) dan 39a(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 telah dibuka dan hampir 96 peratus daripadanya berjaya dituduh di mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bagi kategori permintaan yang meliputi Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya pula sebanyak 1,598 kes telah dibuka dan 94.06 peratus daripadanya berjaya dituduh di mahkamah.

"Sepanjang tahun ini juga polis Terengganu telah mengambil tindakan ke atas 838 orang di bawah Seksyen 39c Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Peningkatan pertuduhan bagi dua kategori kesalahan ini memperlihatkan tindakan drastik PDRM Terengganu dalam memastikan kegiatan pengedaran dan 'street pusher' dikurangkan ke tahap minimum," ujarnya.