X

Kindly register in order to view this article
!

'Jangan politikkan lagi isu roboh rumah Kampung Segambut Permai'

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan tempoh dua minggu penangguhan perobohan rumah penduduk di Kampung Segambut Permai berakhir semalam namun penduduk mendakwa masih dihimpit masalah penempatan
A
A

SEGAMBUT- Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berharap isu perobohan rumah di Kampung Segambut Permai tidak lagi dipolitikkan.

Menurutnya, pelbagai usaha sudah dilakukan kerajaan untuk membantu penduduk di kawasan tersebut sebelum ini.

Hannah bagaimanapun mengakui beliau dan pihak Kementerian Wilayah Persekutuan tidak dapat memenuhi semua permintaan penduduk.

“Pelbagai usaha dilakukan pihak kerajaan untuk membantu penduduk di Kampung Segambut Permai tetapi kami tidak dapat memenuhi semua permintaan segelintir daripada mereka,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Hannah Yeoh yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika mengulas kronologi isu itu berkata, perobohan rumah penduduk dilaksanakan pemilik tanah melalui satu perintah mahkamah bertarikh 26 September lalu.

Katanya, proses untuk tujuan itu bermula ketika kerajaan terdahulu dan pihaknya difahamkan sebahagian penduduk telah berpindah keluar dalam tempoh fasa pertama.

Menurutnya, kerajaan kini berusaha membantu keluarga yang menerima notis perintah mahkamah pada September lalu.

“Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Parlimen Segambut diketuai Dr Abdul Basir dan Irwan Sabei telah membantu mengaturkan satu perbincangan antara pihak pemilik tanah dan penduduk pada 29 September lalu.

“Menerusi perbincangan tersebut, pemilik tanah bersetuju menangguhkan perobohan sehingga bulan ini selepas sesi persekolahan berakhir. Dalam tempoh itu sebahagian penduduk telah berpindah keluar,” katanya.

Hannah berkata, penduduk gagal mengetepikan perintah mahkamah menyebabkan tindakan perobohan perlu dilaksanakan 9 Disember lalu.

Menurutnya, tarikh itu kemudiannya ditunda selama dua minggu sehingga semalam untuk tujuan membantu mendapatkan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR).

“Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad telah menyampaikan surat tawaran rumah transit PPR kepada 19 keluarga yang layak pada 16 Disember lalu.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kemudian menawarkan rumah transit PPR kepada enam lagi keluarga pada 20 Disember lalu,” katanya.

Menurutnya lagi, beliau juga telah memohon pertimbangan pemilik tanah untuk menangguhkan perobohan Surau Al-Firdaus sehingga perbincangan lanjut dengan pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dibuat.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan tempoh dua minggu penangguhan perobohan rumah penduduk di Kampung Segambut Permai berakhir semalam namun penduduk mendakwa masih dihimpit masalah penempatan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus