Penamatan subsidi ayam: Kerajaan yakin harga ayam tidak naik

Kerajaan mengumumkan penamatan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bagi ayam berkuat kuasa 1 November. - Foto Bernama
Kerajaan mengumumkan penamatan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bagi ayam berkuat kuasa 1 November. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penamatan subsidi dan harga kawalan bagi ayam sepenuhnya bermula hari ini diyakini tidak menyebabkan berlakunya kenaikan harga bagi makanan keperluan rakyat itu.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keyakinan itu bersandarkan jaminan yang diberikan pihak industri terlibat.

“Kita tahu harga ayam telah diapungkan (bermula hari ini) dan pastinya sebelum kita membuat keputusan tersebut (untuk tamatkan subsidi) sesi libat urus dilakukan dengan industri dan mereka memberi jaminan.

“Kita minta mereka bekerjasama memastikan bukan sahaja bekalan (mencukupi) tetapi (harga yang ditawarkan juga) munasabah,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 mewakili KPDN di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kerajaan akan menamatkan subsidi dan harga kawalan bagi ayam sepenuhnya bermula 1 November selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara bersasar.

Bagaimanapun, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Isnin menjelaskan, subsidi dan kawalan harga telur ayam gred A, B dan C akan diteruskan menggunakan mekanisme sedia ada.

Sementara itu, Armizan menegaskan, bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan yang dibuat kerajaan itu, penguat kuasa di seluruh negara diminta turun padang meninjau di lapangan.

Katanya, pemantauan itu dibuat meliputi semua lapangan termasuk pasar raya, kedai runcit dan pasar basah untuk melihat sendiri implikasi daripada penamatan subsidi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Hari ini saya telah mengarahkan seluruh jentera kita (KPDN) seramai 2,300 orang untuk membuat pemantauan dan selepas ini sama juga akan turun padang,” katanya.

Tambahnya, KPDN juga menyedari risiko kewujudan kartel meliputi harga, pasaran, pengeluaran dan bidaan, namun usaha berterusan akan dibuat bagi mengekang unsur tersebut.

Pada pembentangan Belanjawan 2024, 13 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan mempertimbang harga ayam dan telur di pasaran diapungkan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah pengapungan berkenaan dibuat selepas kerajaan mendapati bekalan kedua-dua sumber makanan itu kini stabil.