KPKM cenderung laksana subsidi bersasar jika harga ayam kembali meningkat

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) cenderung kepada formula pemberian subsidi bersasar sekiranya harga ayam kembali naik secara mendadak selepas penamatan subsidi dan kawalan harga ayam yang berkuat kuasa 1 November ini.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pemberian subsidi bersasar dilihat lebih sesuai untuk memastikan hanya golongan yang memerlukan dan terkesan dapat menikmati subsidi itu.

"Kalau kenaikan (harga ayam) melampau, kita cenderung kepada pemberian subsidi bersasar kepada golongan B40 yang terkesan kerana jika kita beri subsidi secara pukal, ia hanya menguntungkan tauke dan pengilang besar.

"... harga (makanan ayam) jagung bijirin dan kacang soya menurun, justeru harga ayam juga sudah turun, malah ada tempat menjual ayam pada harga kurang RM7 (sekilogram),” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad berkata, seperti yang diumumkan pada sidang media berhubung penamatan subsidi ayam pagi tadi, keputusan kerajaan melepaskan subsidi sumber protein itu merupakan keputusan yang tepat.

Beliau berkata, pembekal juga memberi jaminan bahawa bekalan ayam mencukupi buat masa ini dan masa hadapan, selain akan meningkatkan pengeluaran sumber makanan itu.

Sementara itu, mengulas isu monopoli Padiberas Nasional Berhad (Bernas) sebagai gatekeeper tunggal, katanya model penswastaan Bernas adalah bersifat subsidi silang, iaitu keuntungan import akan diguna pakai untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan kerajaan.

"Berbanding dengan perjanjian konsesi antara kerajaan dan Bernas sebelum ini, penambahbaikan dibuat dengan menetapkan Bernas melaksanakan 10 obligasi sosial bagi pihak kerajaan bernilai RM3.2 bilion yang meliputi pelbagai program dan insentif di sepanjang rantaian nilai industri bagi tempoh perjanjian konsesi baharu.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, dasar yang dilaksanakan pada ketika ini adalah masih relevan dalam mendepani situasi semasa. Prestasi Bernas selaku pengimport utama beras negara sentiasa dipantau dan diberikan penilaian oleh kerajaan melalui pencapaian prestasi utama,” katanya. - Bernama