Pekerja am ditumbuk sebelum disamun

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pekerja am bukan saja cedera ditumbuk malah kehilangan barang berharga termasuk wang tunai selepas disamun dua lelaki dalam kejadian samun tengah malam tadi.

Sebelum kejadian jam 12.05 tengah malam, lelaki berusia 22 tahun yang berada di luar kereta di tepi Jalan Semarak, Kuala Nerus difahamkan sedang menunggu rakannya.

Menurut sumber, mangsa yang ketika itu sedang bersandar di pintu kereta dikejutkan dengan kehadiran sebuah kereta jenis Proton Waja dan terus berhenti di hadapan keretanya.

Kata sumber, mangsa yang beralamat dari Chabang Tiga di sini dikatakan ditarik oleh salah seorang suspek ke dalam keretanya di bahagian belakang manakala seorang lagi memandu kenderaan itu sehingga ke Bukit Kor, Marang.

"Sepanjang perjalanan mangsa diugut sebelum dipaksa supaya mengeluarkan semua barang berharga yang ada termasuk wang tunai.

"Selain itu juga, berlaku pergelutan di antara mangsa dan salah seorang suspek sebelum dia ditumbuk di muka beberapa kali kerana cuba hendak keluar daripada kenderaan tersebut.

"Akibatnya mangsa mengalami kecederaan bengkak dan sakit di bahagian muka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber berkata, sejurus memberhentikan kereta di tepi jalan Kampung Bukit Kor, Marang, mangsa sekali lagi ditumbuk di seluruh anggota badannya oleh kedua-dua suspek berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Tanpa belas simpati melihat mangsa dalam keadaan begitu lemah kerana menahan kesakitan, kedua-dua suspek bertindak merampas kesemua barang berharga milik mangsa termasuk wang tunai berjumlah RM70.

"Seterusnya mangsa ditinggalkan berseorangan di dalam kereta di lokasi sebelum dia menggagahkan diri ke Balai Polis berhampiran membuat laporan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada mangsa yang bekerja di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus itu.

Katanya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan usaha memburu suspek sedang giat dilakukan.