Skim Rent to Own diperluas bagi golongan B40, M40

Nga Kor Ming - Foto: Bernama
Nga Kor Ming - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperluas skim Rent to Own bagi membolehkan lebih ramai golongan B40 dan M40 memiliki rumah.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kerjasama dengan institusi kewangan akan diteruskan dalam menyediakan pakej pembiayaan perumahan yang menarik dan mampan.

"KPKT (Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan) melalui Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Negara (SPNB) menyediakan perumahan seperti program Kediaman SPNB dan Perumahan PR1MA bagi golongan M40 di seluruh Malaysia," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata, setakat ini, sejumlah 28,583 unit Kediaman SPNB telah siap dibina manakala 1,024 unit dalam pembinaan dan 531 unit dalam perancangan di seluruh negara.

Menurutnya, PR1MA juga telah membina 35,454 unit Rumah Mampu Milik (RMM) manakala 14,427 unit lagi dalam pembinaan dan 3,765 unit dalam perancangan di seluruh negara setakat 15 Oktober.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, kerajaan juga telah bersetuju untuk menetapkan saiz keluasan yang baharu bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) seluas 750 kaki persegi dengan menetapkan standard minimum untuk setiap unit PPR tersebut dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Beliau berkata, ia merupakan hala tuju baharu pelaksanaan PPR berkenaan selaras dengan hasrat kerajaan bagi meningkatkan daya huni penduduk perumahan itu.

"KPKT dengan hala tuju yang baharu juga menetapkan supaya PPR baharu yang dibina akan menjadi lebih bersepadu dengan kemudahan lain termasuk termasuk padang riadah, medan selera dan kedai serbaneka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau berkata, pihaknya telah menyediakan inisiatif bagi meningkatkan pemilikan rumah dengan melaksanakan inisiatif i-Biaya.

"Inisiatif berkenaan merupakan jaminan pembiayaan melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) khususnya pembeli rumah pertama termasuk mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau penyata gaji seperti golongan ekonomi gig.

"Melalui inisiatif ini, kerajaan memberi jaminan had pembiayaan sehingga RM500,000. Ini termasuk jumlah pembiayaan pokok, Jaminan Tempoh Pengurangan Gadai Janji (MRTA), Takaful Gadai Janji (MRTT), yuran guaman dan yuran penilaian," katanya.

Kor Ming berkata, sepanjang pelaksanaan SJKP mulai 2008 hingga 30 Sept lepas, sebanyak 30,841 permohonan pinjaman bernilai RM5.85 bilion telah diluluskan selain kerajaan melalui Belanjawan 2024 telah mencadangkan untuk menambah RM10 bilion jumlah jaminan bagi memanfaatkan 40,000 peminjam.

Sementara itu, beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah melaksanakan sebanyak 1,558 operasi bersepadu sejak 2022 hingga 31 Ogos lepas.

"Setakat September 2023, sebanyak 26,108 lesen peniaga telah dibatalkan oleh PBT atas sebab pelanggaran syarat-syarat lesen dan premis,” katanya. - Bernama