Ramai jemaah B40, M40 pilih bayar penuh kos haji

Mohd Na’im menyerahkan sijil penghargaan kepada pasangan suami isteri yang merupakan antara bekas Jemaah Haji Musim 1443H & 1444H yang menolak Bantuan Kewangan Haji.
Mohd Na’im menyerahkan sijil penghargaan kepada pasangan suami isteri yang merupakan antara bekas Jemaah Haji Musim 1443H & 1444H yang menolak Bantuan Kewangan Haji.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 44 jemaah haji dalam kalangan B40 dan M40 menolak Bantuan Kewangan Haji dan membayar penuh sebanyak RM30,850 bagi musim haji tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan di mana tahun lepas hanya 23 jemaah haji yang berbuat demikian.

Menurutnya, seramai 396 jemaah haji pula membayar RM1,000 hingga RM12,000 lebih daripada kadar bayaran haji yang ditetapkan.

"Peningkatan jumlah jemaah haji yang membayar penuh jelas menunjukkan kesedaran umum dan jemaah mengenai kepentingan istito’ah dalam ibadat haji.

"Syabas dan tahniah kepada jemaah haji kerana memilih untuk membayar penuh atau lebih daripada yang ditetapkan selaras dengan konsep istito’ah yang dituntut syariat," katanya.

Mohd Na’im (duduk,tengah) bersama pihak pengurusan Lembaga Tabung Haji dan bekas Jemaah Haji Musim 1443H & 1444H yang menolak Bantuan Kewangan Haji.
Mohd Na’im (duduk,tengah) bersama pihak pengurusan Lembaga Tabung Haji dan bekas Jemaah Haji Musim 1443H & 1444H yang menolak Bantuan Kewangan Haji.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Penghargaan Tabung Haji (TH) kepada Jemaah Haji 1444H/2023M di sini pada Khamis.

Kos haji bagi seorang jemaah Muassasah pada musim 1444H adalah RM30,850 dan TH telah memberi Bantuan Kewangan Haji secara bersasar kepada golongan B40 dan M40 yang berjumlah RM265 juta.

Artikel Berkaitan:

Sejak 2001 sebanyak RM2.5 bilion telah dibelanjakan untuk menanggung Bantuan Kewangan Haji.

Pendekatan Bantuan Kewangan Haji bersasar dapat mengurangkan beban kewangan TH agar dapat mengimbangi keperluan menjaga kebajikan 31,600 jemaah setiap tahun dan juga agihan keuntungan bagi hampir 9 juta pendeposit.

Mohd Na'im berkata, kesedaran dan kefahaman mengenai konsep kemampuan tunai haji ini juga membolehkan Bantuan Kewangan Haji yang diberikan oleh TH disampaikan kepada mereka yang layak.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada TH yang banyak mengadakan pelbagai program pendidikan serta pendedahan berkaitan istito’ah.

"Usaha ini perlu diteruskan agar lebih ramai bakal jemaah haji diberi kesedaran akan konsep Istito’ah, Insya-ALLAH,” katanya.

Sementara itu, jemaah haji M40, Mazni Kasman, 49, berkata, keputusan untuk membuat bayaran penuh dibuat suaminya bagi menunaikan niat sekiranya terpilih menunaikan haji selepas pandemik Covid-19.

Ishak dan Mazni.
Ishak dan Mazni.

Katanya, mereka sepatutnya menunaikan haji pada tahun 2021 namun ditunda akibat wabak tersebut.

"Kita niat kerana ALLAH SWT kerana kita rasa kita mampu. Sebenarnya dapat pergi haji pun sudah satu nikmat besar.

"Masing-masing ada keikhlasan. Kalau rasa ikhlas, duit cukup, lebih baik bayar penuh. Duit kita bayar penuh mungkin boleh digunakan untuk orang lain. Jadi kita bersangka baik kepada ALLAH SWT," katanya.

Bagi seorang lagi jemaah haji, Profesor Dr Ishak Aris, 57, pilihan untuk membayar penuh kos haji dibuat bagi membantu orang lain yang lebih memerlukan menggunakan dana subsidi sedia ada.

"Bagi saya yang penting adalah diberi peluang untuk tunaikan haji. Bila ada kemampuan lebih, kita kongsi semula untuk orang lain.

"Insya-ALLAH tak ada istilah rugi. Kita mahukan keberkatan dalam ibadah," katanya.