BNM dijangka kekalkan OPR pada paras semasa - Juwai IQI

Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia
A
A
A

BANK Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) yang tidak berubah pada 3.0 peratus dalam Pernyataan Dasar Monetari keenam dan terakhir untuk 2023 pada Khamis, 2 November bagi mengelakkan kejutan pasaran atau memberi tekanan kepada ekonomi.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, semua petunjuk menggambarkan bahawa negara tidak memerlukan kadar OPR lebih tinggi buat masa ini, manakala inflasi berada dalam kawalan dan pertumbuhan ekonomi lembap.

"Disebabkan bank ini adalah antara yang pertama di dunia yang mula menaikkan kadar dalam kitaran ini, Malaysia mampu menangani inflasi tanpa kemelesetan. Ini baik untuk pasaran perumahan.

"Pasaran perumahan dan kewangan menyambut baik apabila kadar merosot, tetapi mereka tidak sukakan kejutan, dan keputusan untuk tidak melaraskan kadar itu telah dijangka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Kashif berkata, sebahagian pihak telah menyarankan bank pusat meningkatkan OPR untuk membantu membendung kejatuhan ringgit memandangkan mata wang tempatan telah menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

"Kadar faedah lebih rendah di Malaysia berbanding AS. Oleh itu, banyak pelabur menggerakkan wang mereka ke AS untuk pulangan tinggi bagi tunai dan bon.

"Dengan meningkatkan OPR, bank ini diharap membantu ringgit meraih semula sebahagian daripada nilainya. BNM mungkin masih melakukannya pada 2024.

"Kewangan isi rumah yang teguh dan pekerjaan yang kukuh merupakan dua daripada petunjuk yang kita perhatikan untuk menilai bagaimana permintaan perumahan mungkin menjadi trend. Kedua-duanya telah bersedia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kashif berkata, keputusan bank pusat untuk mengekalkan OPR yang tidak berubah pada bulan tersebut akan membantu mengekalkan pertumbuhan ekonomi semasa dan mendorong lebih ramai individu untuk membeli rumah sendiri, sebagai asas kepada keselamatan ekonomi.

"Pada 2024, sekiranya Rizab Persekutuan AS terus mengekalkan rejim kadar faedah ‘lebih tinggi untuk tempoh lebih lama,’ BNM akan mengalami lebih banyak tekanan untuk menaikkan kadar dan membendung kejatuhan ringgit,” katanya. - Bernama