Ringgit ditutup hampir tidak berubah berbanding dolar AS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT ditutup hampir tidak berubah berbanding dolar AS pada Isnin, dalam persekitaran kebimbangan yang meningkat mengenai kelembapan ekonomi global, kata ahli ekonomi.

Pada jam 6 petang, unit tempatan berada pada 4.6640/6690 berbanding dolar AS daripada 4.6635/6705 pada Jumaat lepas.

Ketua Ekonomi dan Ketua Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit kekal rendah berbanding dolar AS berikutan pasaran menantikan data utama di Amerika Syarikat (AS) yang akan dikeluarkan pada minggu ini.

Selain itu, pelabur akan turut memantau keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada Khamis mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR).

"Kami berpendapat bank pusat akan mengekalkan kadar dasar tidak berubah pada 3.00 peratus,” kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

RHB Research dalam nota penyelidikan hari ini menjangka BNM akan mengekalkan status quo OPR pada 3.00 peratus pada mesyuaratnya pada 6 Julai.

Jangkaan itu berdasarkan risiko inflasi yang terhad, langkah campur tangan pertukaran asing bank pusat dan pandangannya mengenai ekonomi global, menurut RHB Research.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding euro kepada 5.0791/0845 daripada 5.0571/0647 pada Jumaat lepas, rendah berbanding yen Jepun kepada 3.2252/2289 daripada 3.2220/2273 dan susut berbanding pound kepada 5.9088/9152 daripada 5.8923/9012 sebelum ini.

Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN lain.

Ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.4482/4521 daripada 3.4376/4431 pada Jumaat lepas dan susut berbanding baht Thailand kepada 13.2357/2563 daripada 13.1529/1786 sebelum ini.

Ia merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 310.2/310.7 daripada 309.5/310.1, bagaimanapun naik berbanding peso Filipina kepada 8.43/8.44 daripada 8.44/8.46 pada Jumaat lepas. - Bernama