Pendirian Malaysia terhadap Palestin tidak berubah

No Image Caption
A
A
A

MALAYSIA konsisten dalam menyatakan pendirian dan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin termasuk di peringkat antarabangsa di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Rakyat negara ini senada bersatu hati menghulurkan pelbagai sumbangan sebagai tanda solidariti menentang kezaliman Israel yang menduduki tanah Palestin secara haram.

Mengimbau sejarah lampau, Israel mahu menubuhkan negara sendiri berdasarkan idea cetusan Theodor Herzl dalam bukunya bertajuk Der Judenstaat atau The State of Israel. Israel percaya kononnya bumi Palestin telah diwariskan oleh Tuhan mereka kepada bangsa Yahudi seperti dinyatakan dalam kitab Old Testament.

Pada Mei 1948, Perdana Menteri pertama Israel, David Ben Gurion mengadakan upacara di Tel Aviv untuk mengisytiharkan kelahiran negara baharu Israel di Palestin dengan pertolongan British dan Amerika Syarikat.

Palestin ketika itu berada di bawah British ekoran kekalahan kerajaan Turki Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918) dan diserahkan kepada Israel untuk mendirikan negara Yahudi.

Sejak itu, pertempuran meletus sehingga tercetus Perang Israel-Arab pada 1967 yang membawa kepada penaklukan Israel ke wilayah Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan Timur Baitulmaqdis.

Rejim zionis Israel meneruskan proses menguasai seluruh Palestin melalui kekejaman, pengusiran, pembunuhan dan pembantaian penduduk.

Sejak 1960-an Malaysia telah mengambil langkah pro-aktif mempertahankan kedaulatan Palestin dan buat pertama kalinya mengusul anti-Israel di Persidangan Aqsa, Rabat pada 1969 ekoran pembakaran Masjid Al-Aqsa oleh Israel.

Artikel Berkaitan:

Meskipun kepimpinan negara silih berganti namun sejak Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sehingga Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pendirian Malaysia tidak berubah atau berganjak sedikit pun.

Malaysia tidak pernah tunduk atau takut dengan sebarang tekanan dalam mempertahankan pendirian menentang kezaliman dan pencabulan hak asasi manusia ke atas penduduk Palestin.

Malaysia berpandangan masyarakat antarabangsa berterusan mengambil tindakan berat sebelah terkait segala bentuk kekejaman dan penindasan kepada rakyat Palestin sehingga ribuan tidak bersalah terkorban.

Dalam perkembangan terbaharu serangan mengejut Hamas pada Sabtu lalu, Malaysia sekali lagi bertegas bahawa hak rakyat Palestin perlu dikembalikan bagi membentuk sebuah negara merdeka serta berdaulat dengan menjadikan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.