X

Kindly register in order to view this article
!

'Bukan mahu menentang kaum, hanya bincang pembelajaran jawi'

Seng Khek (duduk, tiga dari kanan) menunjukkan kenyataan media berhubung pendirian terhadap persidangan pada 28 Disember ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) menegaskan persidangan persatuan Cina yang akan diadakan pada 28 Disember ini bukan perhimpunan bagi menentang kaum tertentu.

Sebaliknya program anjuran Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia(Dong Zong) hanyalah majlis perundingan biasa bagi membincangkan pembelajaran jawi di sekolah vernakular.

Pengerusinya, Datuk Ong Seng Khek berkata, pihaknya berharap agar perundingan itu nanti dapat mencari penyelesaian terbaik serta boleh diterima semua pihak.

"Kami menyeru semua pihak agar melihat persidangan yang akan dibuat pada 28 Disember ini sebagai perbincangan normal dalam masyarakat sivil berhubung pengajaran jawi.

"Persidangan itu juga bukan pertembungan antara Melayu dan Cina serta tidak harus disalahtafsir oleh mana-mana pihak.

"Secara jelasnya kami bukan ingin menimbulkan sebarang konflik tetapi ingin memastikan perpaduan sentiasa terpelihara," katanya pada sidang media khas di pejabat KLSCAH di sini hari ini.

Menurutnya, organisasi itu juga mendukung secara mutlak bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dengan tulisan rumi sebagai tulisan rasmi seperti yang termaktub pada Perlembagaan Persekutuan.

"Kami mengambil maklum bahawa tulisan jawi adalah warisan penting bagi masyarakat Melayu.

"Malah kami juga kesal bahawa usaha untuk mempromosikan tulisan jawi oleh sesetengah pihak dilihat sebagai usaha untuk Islamisasi dan secara tidak langsung menimbulkan kegelisahan kepada ibu bapa bukan Islam," katanya.

Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) sewajarnya mengambil pendekatan lebih konsultatif berhubung dengan perubahan sebarang dasar dalam pendidikan negara.

"Selain itu, kami juga menyokong permintaan Dong Zong untuk menjadi jawatankuasa pengelola sekolah Cina dan turut dilibatkan dalam sebarang keputusan berkenaan tulisan jawi di semua sekolah vernakular.

"Jadi, kami menyeru KPM untuk mengambil tindakan ini (berkenaan permohonan untuk meletakkan Dong Zong dalam jawatankuasa) bagi memastikan isu ini diselesaikan segera," katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed sebelum ini dilaporkan menegur Dong Zong bahawa penganjuran kongres itu bakal membawa kepada kekacauan.

Dong Zong bagaimanapun dilaporkan akan tetap akan mengadakan kongres itu pada 28 Disember ini.

Pengerusinya, Tan Tai Kim berkata, kongres itu merupakan program aman yang bertujuan menyampaikan permintaan damai pertubuhan Cina mengenai pengajaran tulisan jawi.

ARTIKEL BERKAITAN Semua pihak perlu jaga sensitiviti kaum: Dr Mahathir

Dong Jiao Zong anjur persidangan bantah tulisan Jawi di sekolah vernakular


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus