Semua pihak perlu jaga sensitiviti kaum: Dr Mahathir

Dr Mahathir ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan ke Pusat Media Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - Foto Bernama
Dr Mahathir ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan ke Pusat Media Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua pihak harus menjaga sensitiviti kaum lain walaupun Malaysia merupakan sebuah negara yang bebas menyuarakan sebarang pandangan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, negara akan berhadapan keadaan haru-hara sekiranya terdapat pihak cuba menyerang kaum lain atau melanggar Perlembagaan sehingga menyebabkan tanah air mundur sekali gus menyebabkan rakyat terpaksa berpindah ke negara lain.

Beliau berkata, adalah penting rakyat di negara ini yang berbilang kaum untuk menimbang perasaan antara satu sama lain sebelum membuat sesuatu.

"Sekiranya orang Melayu mengadakan kongres untuk membincangkan Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SKJC) agar ditutup, tindakan itu menimbulkan pelbagai reaksi.

"Pada hari lain, mereka mahu berbuat itu (bantahan) yang berbaur Cina manakala Melayu pula membalas dengan berbaur Melayu dengan meminta sekolah Cina dan sebagainya ditutup.

"Jika kamu berbuat demikian seperti negara lain mereka akan berada di jalanan dan bergaduh semasa sendiri, akan ada gas pemedih mata dan sebagainya.

"Jika kamu mahu Malaysia berlaku seperti itu, teruskan," katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan ke Pusat Media Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumur di sini.

Beliau mengulas tindakan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) yang secara gabungannya dikenali Dong Jiao Zong untuk mengadakan persidangan pertubuhan Cina pada 28 Disember untuk membantah pelajaran pengenalan kepada tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Artikel Berkaitan:

Selain mengajak semua pertubuhan Cina menghadiri persidangan itu, Dong Jiao Zong turut meminta lembaga pengelola dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) untuk memulangkan garis panduan pelajaran tulisan Jawi kepada Kementerian Pendidikan sebagai tanda bantahan.

Gabungan itu tidak bersetuju dengan pelajaran pengenalan kepada tulisan Jawi kerana ia bertentangan dengan keputusan Kabinet dan Dokumen Standard Kurikulum Dan Pentaksiran (DSKP).