Disemadi dalam kubur kitar semula

Mangsa pengeboman Israel dikebumikan dalam satu liang lahad di Deir Al-Balah.
Mangsa pengeboman Israel dikebumikan dalam satu liang lahad di Deir Al-Balah.
A
A
A

DEIR AL-BALAH - Tanah perkuburan yang sesak di Genting Gaza memaksa waris menggali keluar mayat dan mendalamkan lubang kubur.

Begitulah cara mereka yang terselamat mengebumikan Bilal Al-Hour, seorang profesor di Universiti Al Aqsa dan 25 ahli keluarganya yang menjadi mangsa pengeboman Israel pada Jumaat lalu.

Serangan udara itu memusnahkan kediaman empat tingkat keluarga Bilal di Deir Al-Balah, utara Gaza.

Saudara lelaki Bilal, Nour terpaksa menggali pusara lama keluarganya dan menempatkan jenazah baharu di dalamnya.

Tangan Noor kelihatan hitam dan diselaputi kotoran.

Dia tercungap-cungap ketika menurunkan satu demi satu jenazah saudara maranya ke dalam liang lahad.

“Itu isteri dan anak-anak arwah (Bilal). Anak perempuannya menamatkan sekolah menengah tahun lalu.

“Sepatunya dia menyambung pelajaran dan menjadi seorang doktor,” kata Nour sebelum menutup liang lahad.

Artikel Berkaitan:

Sejurus selesai menyemadikan mangsa, Nour kedengaran mengucapkan “kami milik ALLAH dan kepada-Nya kami kembali” sebelum beredar.

Angka kematian orang awam di Gaza meningkat secara drastik menyebabkan tanah perkuburan capai kapasiti penuh.
Angka kematian orang awam di Gaza meningkat secara drastik menyebabkan tanah perkuburan capai kapasiti penuh.

KUBUR BESAR

Sejak lebih dua minggu lalu, penduduk Palestin mula menggali kubur besar untuk menyemadikan jenazah syuhada yang terkorban dalam serangan Israel.

Menurut agensi berita WAFA, tanah perkuburan sudah mencapai kapasiti maksimum berikutan jumlah kematian yang tinggi.

Malah, upacara pengebumian juga dilakukan secara ringkas.

Kementerian Awqaf Gaza yang bertanggungjawab dalam hal-hal keagamaan kini menggesa pengebumian tergesa-gesa dan membenarkan penggalian kubur besar.

“Jumlah mangsa yang maut begitu besar sedangkan ruang (tanah kubur) semakin mengecil.

“Setiap daerah di Gaza mempunyai sekurang-kurangnya dua kubur besar, sesetengahnya menampung lebih 100 mayat,” kata kementerian itu.

Sebuah lori aiskrim dijadikan tempat menyimpan jenazah berikutan kapasiti rumah mayat di hospital telah penuh.
Sebuah lori aiskrim dijadikan tempat menyimpan jenazah berikutan kapasiti rumah mayat di hospital telah penuh.

JENAZAH TANPA NAMA

Di bilik mayat, mangsa kekejaman Israel ditimbun kerana kekurangan ruang penyimpanan atau terus dibawa ke kubur besar.

Kebanyakan mayat tersebut tidak dikenal pasti dan dalam sesetengah kes, jenazah mereput sehingga tidak dikenali oleh ahli keluarga sendiri.

Sebelum dikebumikan, pasukan perubatan menyimpan gambar dan sampel darah si mati dan menandakan jenazah dengan nombor.

Bagi meningkatkan peluang dikenal pasti jika mereka meninggal dunia, ibu bapa telah mula memakaikan gelang pengenalan atau menconteng nama dengan penanda pada lengan dan kaki anak-anak mereka.

“Kami sering menjumpai perkara ini semasa bekerja.

"Terdapat nama dan nombor pengenalan diri yang ditulis dengan dakwat pada mayat kanak-kanak sejak minggu lalu” kata jurucakap Pertahanan Awam Palestin, Mahmoud Basal.

Pada Jumaat lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan lebih 1,000 mayat tidak dikenal pasti masih tertimbus di bawah runtuhan di Gaza.

Wakil WHO bagi wilayah Palestin, Richard Peeperkorn berkata, angka tersebut belum dimasukkan dalam jumlah kematian rasmi orang awam.

Hamas melaporkan jumlah kematian di wilayah itu sudah melebihi 8,000 mangsa. - Agensi