MP PN sokong PM: Mereka ada alasan tersendiri - Zahari

ZAHARI
ZAHARI
A
A
A

KOTA BHARU - Tindakan dua ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) yang memutuskan untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap mempunyai alasan tersendiri.

Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik berkata, mereka dari Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid itu juga berhak untuk menyokong sesiapa sahaja yang dimahukan.

“Saya menghormati keputusan kedua-dua ahli Parlimen (yang menyokong Anwar) sebab itu hak masing-masing.

“Berkemungkinan mereka ini ada alasan tersendiri untuk berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Pada 12 Oktober lalu, Iskandar Dzulkarnain tanpa meninggalkan atau mengkhianati Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam apa-apa jua keadaan atas prinsip taat setia kepada parti yang diwakilinya itu memutuskan menyokong Anwar terhadap apa-apa saja usaha yang dilakukan perdana menteri itu bagi mengukuhkan ekonomi terutama di kawasannya dan menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda.

Terbaharu, pada Isnin, Suhaili pula mengikut jejak sama setelah mengambil kira kesemua permasalahan rakyat Labuan yang berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi serta gangguan bekalan air dan bekalan elektrik yang berterusan.

Mengulas kemungkinan lebih ramai ahli Parlimen Bersatu bertindak demikian, Zahari bagaimanapun berkata, beliau tidak mendengar apa-apa maklumat seumpama itu.

Dalam pada itu, beliau mengakui dirinya sendiri masih kekal setia kepada Bersatu.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini tiada lagi kedengaran ahli Parlimen lain nak sokong perdana menteri (Anwar).

“Saya sendiri akan kekal setia menyokong parti saya,” ujarnya.

Sementara itu, Iskandar Dzulkarnain yang ‘hilang’ dari Dewan Rakyat beberapa minggu setelah mengutarakan kenyataan secara terbuka tersebut akhirnya membuat kemunculan pada Isnin.

Bersatu yang bermesyuarat baru-baru ini memutuskan untuk menghantar surat tunjuk sebab kepada Iskandar Dzulkarnain dan kedudukannya dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu.