Lima Radar CSS Pantai Timur Sabah alami kerosakan

Mohamad merangkap Ahli Parlimen Rembau ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Isnin. - Foto Bernama
Mohamad merangkap Ahli Parlimen Rembau ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lima Radar Sistem Pengawasan Pantai (CSS) yang digunakan bagi mengawasi pesisir Pantai Timur Sabah dilaporkan telah mengalami kerosakan dan tidak ekonomi untuk dibaiki (TEB).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kesemua peralatan bagi radar tersebut telah ditanggalkan bagi tujuan proses pelupusan.

Ujar beliau, Radar CSS pada asalnya diletakkan di 13 lokasi penempatan yang meliputi pesisiran Kudat, di bahagian Utara Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) sehingga ke Tawau, di bahagian Selatan ESSZone.

“Kementerian Pertahanan (Mindef) telah mengenal pasti keperluan bagi menutup sepenuhnya kelompongan di kawasan tersebut dengan melaksanakan perolehan sebanyak enam buah (lima penggantian dan satu penambahan) radar pengisi jurang yang baharu.

“Jumlah keseluruhan peruntukan bagi perolehan enam buah radar tersebut adalah sebanyak RM57 juta yang akan diperoleh dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan RMK13,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi jawab lisan untuk soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) berhubung status pembaikan dan penggantian radar pesisir pantai di Wilayah Sabah pada Isnin.

Dalam pada itu, menurut Mohamad, pada masa ini, lapan radar CSS baru sahaja selesai menjalani kerja-kerja naik taraf pada 16 September lalu melibatkan Radar CSS 1206.

“Projek menaik taraf ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan pengesanan radar dan keupayaan ‘Perintah dan Kawalan’. Kesemua radar tersebut adalah berstatus operasi sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

“Di kawasan ESSZone ini Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menjalankan operasi, iaitu Operasi PASIR di bawah naungan Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) sejak tahun 2000, meliputi kawasan Utara sehingga Selatan Pantai Timur Sabah.

“Saya sendiri pada bulan Februari lalu telah berkesempatan melihat secara dekat dan meninjau operasi ATM di kawasan berkenaan.

Sementara itu, ulas beliau, faktor geografi, kedudukan Pantai Timur Sabah yang berhampiran dengan kepulauan di Selatan Filipina dan Indonesia membuka ruang kepada pelbagai bentuk ancaman bukan tradisional termasuk jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu-gugat keamanan dan keselamatan di kawasan berkenaan.

“Bagi memastikan keselamatan di Pantai Timur Sabah sentiasa terpelihara, pada 25 Mac 2013 kerajaan telah mewujudkan ESSZone, iaitu Zon Selamat Pantai Timur Sabah di bawah kawalan Eastern Sabah Security Command (ESSCom).

“Pantai Timur Sabah merangkumi 10 daerah persisiran mulai dari Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahat Datu, Kunak, Semporna dan Tawau dengan panjang sejauh 1,733 kilometer (km).

“Kawasan pesisiran berkenaan turut melibatkan 361 buah pulau dan keluasan daratan seluas 31,158 km persegi, iaitu 42 peratus daripada keluasan negeri Sabah,” jelasnya.