Polis buat rondaan kawasan banjir

Mohd Yusri (dua dari kanan) mencuba peralatan yang dipamerkan sempena Program Pencegahan Jenayah dan Meniti Kerjaya Dalam PDRM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pari di sini pada Isnin.
Mohd Yusri (dua dari kanan) mencuba peralatan yang dipamerkan sempena Program Pencegahan Jenayah dan Meniti Kerjaya Dalam PDRM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pari di sini pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Polis sentiasa membuat rondaan di kawasan terjejas banjir di beberapa daerah di Perak bagi memastikan rumah ditinggalkan mangsa yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara berada dalam keadaan selamat.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, berdasarkan pengalaman lalu memang pihak polis menjalankan rondaan di kawasan yang terjejas banjir selain membantu dalam memindahkan mangsa-mangsa banjir.

Menurutnya, orang ramai terutama mangsa banjir tidak perlu bimbang dan memaklumkan lokasi rumah mereka bagi memudahkan pihak polis membuat pemantauan.

"Berdasarkan pengalaman yang lepas rumah yang ditinggalkan kita akan pantau dari semasa ke semasa. Pihak polis ada buat rondaan secara berkala walaupun kawasan itu banjir kita akan membuat rondaan melalui bot-bot atau tinjauan udara bagi memastikan rumah mangsa banjir selamat.

"Pastikan mereka memaklumkan kepada pihak polis lokasi rumah mereka dan berapa lama mereka tinggalkan. Jadi mangsa tidak perlu bimbang keselamatan terjamin dan rondaan akan dibuat setiap masa," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Pencegahan Jenayah dan Meniti Kerjaya Dalam PDRM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pari di sini pada Isnin.

Hadir sama pada program tersebut, Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran dan Pengetua SMK Sungai Pari, Balarama Krrishnan.

Sementara itu, jumlah mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak terus meningkat apabila daerah Larut Matang Selama (LMS) menjadi daerah terbaharu dilanda banjir, selain Hilir Perak dan Kerian.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam satu kenyataan memaklumkan mangsa banjir di seluruh Perak meningkat kepada 156 orang daripada 45 keluarga, berbanding 120 orang daripada 31 keluarga.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, satu PPS baharu dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Star, Selama, jam 8 malam tadi, menempatkan 30 mangsa dari 11 keluarga masing-masing dari Kampung Sungai Star dan Kampung Tanjung Lengkong.

Selain di Selama, seramai 85 orang dari 25 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, Teluk Intan dan 41 orang dari sembilan keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak, Kerian.