KKM, SPAN sahkan air dibekalkan kembali kepada pengguna selamat

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari (kanan) meninjau kerja pengepaman Kolam Tasik Idaman, Sungai Buah ke Sungai Semenyih untuk pembersihan bahan tercemar dan penstabilan bekalan air semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari (kanan) meninjau kerja pengepaman Kolam Tasik Idaman, Sungai Buah ke Sungai Semenyih untuk pembersihan bahan tercemar dan penstabilan bekalan air semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengesahkan bekalan air terawat yang akan dibekalkan kembali kepada pengguna terjejas mematuhi piawaian pihaknya.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Halem Mat Som berkata, ketika proses rawatan dilakukan, pihak KKM dan SPAN melakukan pemantauan dan ujian kualiti air secara berkala di Loji Rawatan Air (LRA) dan Kolam Imbangan.

Menurutnya, hasil pemantauan tiada bau dikesan dan air terawat di Kolam Imbangan selamat untuk dibekalkan kepada pengguna.

Katanya lagi, bekalan air terawat mula di salurkan ke dalam sistem agihan untuk dibekalkan ke premis pengguna mulai jam 1 pagi tadi.

"Sebahagian kawasan telah mula menerima bekalan air sejak awal pagi tadi. Namun buat masa ini kakitangan Air Selangor dalam proses menstabilkan tekanan di jajaran paip utama serta kolam-kolam utama.

"Pemulihan bekalan air kepada pelanggan akan berlaku secara berperingkat bergantung kepada kedudukan geografi dan altitud premis pelanggan. Kawasan yang berhampiran dengan sistem agihan dijangka menerima bekalan lebih awal dan begitu juga sebaliknya," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Abdul Halem berkata, pihaknya menjangkakan bekalan air di semua kawasan terjejas pulih sepenuhnya dalam tempoh 72 jam.

Menurutnya, senarai kawasan yang pulih daripada gangguan bekalan akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, LRA Bukit Tampoi masih belum dapat beroperasi semula kerana pencemaran bau masih dikesan di muka sauk.

ARTIKEL BERKAITAN: Air Selangor mahu urus sendiri IWK: MB

Sementara bekalan pulih sepenuhnya, Abdul Halem berkata, bantuan kecemasan melalui lori tangki air akan terus digerakkan ke kawasan terjejas.

"11 buah Pusat Khidmat Setempat (PKS) masih meneruskan operasi 24 jam termasuk menyediakan 18 lokasi pili awam seperti dimaklumkan sebelum ini.

"Bekalan air melalui botol air minum berkapasiti 5 liter turut giat diedarkan kepada pengguna-pengguna terlibat.

"Pengguna yang ingin mendapatkan perkembangan terkini berhubung gangguan bekalan boleh terus merujuk aplikasi telefon pintar Air Selangor, Facebook dan Instagram Air Selangor, atau layari laman sesawang kami di www.airselangor.com. Pihak Air Selangor sentiasa mengemaskini maklumat dari masa ke semasa untuk kemudahan pengguna," katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan sebanyak 328,957 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air sejak Sabtu lalu ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Loji Rawatan Air Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah terpaksa dihenti tugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran terbabit.

Jumlah akaun, pengguna terjejas bertambah kepada 336,930 apabila LRA Bukit Tampoi yang menerima sumber air mentah dari Sungai Semenyih turut dihentikan operasi sejak Ahad.