X

Kindly register in order to view this article
!

Air Selangor mahu urus sendiri IWK: MB

Amirudin (kanan) meninjau kerja pengepaman Kolam Tasik Idaman, Sungai Buah ke Sungai Semenyih untuk pembersihan bahan tercemar dan penstabilan bekalan air.
A
A

DENGKIL - Piawaian kualiti bekalan air yang berbeza antara Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Indah Water Konsortium (IWK) punca pencemaran bau sukar dikesan awal.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Air Selangor bercadang mahu menguruskan sendiri syarikat pembetungan IWK dalam usaha penyelarasan prosedur operasi standard (SOP) antara dua agensi.

"Air Selangor sedang merayu untuk menguruskan sendiri IWK kerana saling berkepentingan. Kalau tidak susah untuk mengawal pencemaran sebab mempunyai dua piawaian berbeza.

"IWK tidak meletakkan kriteria bau bagi sisa kumbahan yang dilepaskan sementara Air Selangor pula perlukan paras kosong ton sebelum bekalan air diagihkan kepada pengguna," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kerja pengepaman Kolam Tasik Idaman, Sungai Buah ke Sungai Semenyih untuk pembersihan bahan tercemar dan penstabilan bekalan air di sini hari ini.

Amirudin menjelaskan, penyelarasan antara dua agensi itu satu keperluan mendesak memandangkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) berlaku sebanyak tiga kali disebabkan isu pencemaran bau dari saluran IWK.

"Kejadian pencemaran bau dari saluran IWK bukan pertama kali berlaku, sebelum ini pernah berlaku di Batang Kali dan dua insiden di Bandar Bukit Mahkota.

"Harap kualiti bekalan air ini ditangani bersama dan pihak saya sendiri telah menghubungi Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar supaya enakmen undang-undang dan hukuman lebih berat dikenakan sebagai tekanan kepada pelaku yang menyebabkan pencemaran," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus