Remaja menangis tatap gambar ibu bapa terkorban

Abdullah (kanan) menangis semasa melihat gambar jenazah ibu bapanya yang meninggal dunia dalam kemalangan pada 1 September lalu.
Abdullah (kanan) menangis semasa melihat gambar jenazah ibu bapanya yang meninggal dunia dalam kemalangan pada 1 September lalu.
A
A
A

MUAR - Remaja yang terselamat dalam nahas enam sekeluarga maut membabitkan kemalangan lima kenderaan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan di sini 1 September lalu, tidak dapat menahan kesedihan sejurus mengetahui ibu bapa dan empat adik-beradiknya sudah tiada.

Abdullah Amir Ruddin, 15, menangis semasa menatap gambar jenazah ibu bapanya yang telah terkorban dalam kemalangan itu.

Insiden pilu dan menyayat hati itu dikongsikan Norhayati Noor Muhammad, 51, iaitu ibu saudara kepada Abdullah menerusi video yang dimuat naik dalam aplikasi TikTok pada petang Khamis.

Menerusi video berkenaan, Abdullah Amir menyapu air matanya selepas melihat gambar jenazah ibunya, Allahyarhamah Noorahimah Noor Muhammad yang ditunjukkan abangnya, Abdurrahman.

“Nak tengok gambar siapa dulu,” soal Abdurrahman.

Abdullah menjawab mahu melihat gambar jenazah ibunya terlebih dahulu sebelum Abdurrahman menunjukkan gambar jenazah ibu mereka dalam telefon bimbit.

“Jenazah la, nampak mata ibu, lawa,” jawab Abdullah sambil menundukkan muka sambil tersenyum dan mengesat air matanya yang gugur.

Biarpun remaja terbabit kelihatan senyum namun jauh disudut hatinya hiba selepas mengetahui ibu dan bapanya sudah tiada di sisinya.

Artikel Berkaitan:

Abdullah kemudiannya membaca al-Fatihah sebagai sedekah untuk insan tersayang sebelum abangnya turut mengalirkan air mata melihat adiknya itu menangis.

Terdahulu media melaporkan Abdullah bertanyakan keberadaan bapanya yang dipanggil Abi dan ibu.

“Tok Mak (nenek), abi (bapa), ibu tak ada lagi kan, sebab itu tak datang tengok Dollah (Abdullah),” tanya Abdullah kepada neneknya, Noliah Md. Noh, 76, pada malam Rabu.

Dalam kemalangan jam 6.37 petang, 1 September lalu, selain ibu, bapanya, Amir Ruddin Ismail, 46, serta empat adik-beradiknya Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5, turut meninggal dunia.

Abdullah yang mengalami kecederaan parah pada tangan dan kepala dikejarkan ke Hospital Segamat namun kembali pulih selepas hampir 20 hari menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut.

Kejadian berlaku ketika tujuh sekeluarga itu dalam perjalanan dari Ladang Tehel Utara, Kluang ke Felda Kemelah di Segamat untuk menghantar Noorahimah serta anak-anaknya di sana.

Namun setibanya di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dinaiki bertembung dengan sebuah treler membawa muatan pasir.