Nahas enam beranak di Segamat: APAD batal lesen pengendali syarikat

Kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, Johor, pada 1 Sept lalu mengakibatkan enam beranak maut. - Facebook Balai Bomba & Penyelamat Segamat
Kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, Johor, pada 1 Sept lalu mengakibatkan enam beranak maut. - Facebook Balai Bomba & Penyelamat Segamat
A
A
A

KUALA LUMPUR - Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membatalkan Lesen Pengendali Syarikat Sepadu Ikhlas Sdn Bhd berkuat kuasa serta-merta.

Ia susulan kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk lori yang dikendalikan syarikat itu, di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, Segamat, yang mengakibatkan enam beranak maut pada 1 Sept lalu.

Menurut APAD, hasil siasatan mendapati syarikat berkenaan tidak mematuhi keperluan syarat berkanun lesen yang telah ditetapkan.

"Pembatalan lesen berkenaan atas kesalahan gagal mematuhi syarat berkanun lesen Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan pemanduan secara berbahaya.

"Kedua, gagal mematuhi syarat lesen keperluan keselamatan seperti mana senarai di bawah pemeriksaan dan audit keselamatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Ini termasuk gagal memperbaharui lesen kenderaan bermotor (LKM) bagi kenderaan lori yang tamat tempoh ketika kemalangan berlaku," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, APAD berkata, pihaknya turut mendapati syarikat berkenaan juga mempunyai rekod saman lampau yang tinggi.

"Selepas pembatalan tersebut, sebarang transaksi berhubung Lesen Pengendali bagi syarikat berkenaan tidak dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

"Kementerian Pengangkutan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kesalahan pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya yang membabitkan kemalangan dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya," ujarnya.

APAD turut mengingatkan mana-mana pengendali berlesen untuk memantau prestasi pemandu kenderaan masing-masing dan memastikan aspek keselamatan dan kebajikan pemandu terjaga setiap masa.

Enam sekeluarga yang meninggal dunia dalam kemalangan tersebut ialah pasangan suami isteri Amir Ruddin Ismail, 46 tahun, dan Norahimah Noor Muhammad, 43 tahun, serta empat anak mereka - Fatimatulzahrah, 17 tahun; Seri Khadijah Aqilah, 13 tahun; Rufaidatul Asyariyah, 10 tahun, dan Muhammad Assyakrawi, 5 tahun.

Kemalangan berlaku setelah kereta Perodua Alza yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori.

Selain lori dan Perodua Alza, tiga kenderaan lain turut terlibat dalam nahas itu, iaitu sebuah Honda HRV, sebuah Proton Wira dan sebuah Perodua Bezza. - Awani