Laporan siasatan nahas 6 maut diperoleh dalam masa terdekat

Laporan Sinar Harian mengenai nahas terbabit.
Laporan Sinar Harian mengenai nahas terbabit.
A
A
A

PUTRAJAYA - Laporan teknikal siasatan kemalangan maut membabitkan lima kenderaan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan di Johor pada 1 Sept lepas yang mengakibatkan enam maut dijangka diperoleh dalam masa terdekat, menurut Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Menurut APAD pihaknya bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk mendapatkan laporan teknikal siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah lori membawa muatan pasir.

Menurut APAD, berdasarkan laporan yang diterima, didapati lori berkenaan dipercayai telah gagal membrek dan hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang dan kanan kenderaan malang berkenaan.

Dalam kenyataan hari ini, APAD memaklumkan pihaknya telah mengambil tindakan susulan dengan mengeluarkan Surat Tunjuk Sebab (STS) kepada pengendali berlesen yang terlibat bertarikh 4 Sept 2023.

APAD berkata ia boleh mengambil tindakan sama ada penggantungan atau pembatalan lesen di bawah Seksyen 62, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] dengan merujuk kepada kesalahan melanggar syarat berkanun lesen pengendali di bawah seksyen 58(1) Akta 715.

Di bawah Seksyen 62 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715], APAD memaklumkan pengendali berlesen dan pemandunya bertanggungjawab dalam memberikan keutamaan yang paling tinggi kepada keselamatan penumpang dan pengguna jalan yang lain.

Di bawah akta yang sama juga, mana-mana pengendali yang didapati melanggar mana-mana syarat lesen boleh dikenakan tindakan dan sekiranya disabitkan kesalahan didenda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih dari RM500,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, APAD berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang dalam tindakan menjalankan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan JPJ (JISA) terhadap syarikat Sepadu Ikhlas Sdn Bhd berhubung kemalangan tersebut.

Artikel Berkaitan:

JPJ akan melaksanakan audit Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) oleh JPJ untuk menentukan keperluan tindakan undang-undang yang boleh diambil di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.

"Hasil siasatan terkini, JPJ mendapati pemandu kenderaan VEE 4751 memiliki tujuh saman aktif daripada 19 rekod saman JPJ. Dalam masa yang sama, kenderaan berkenaan juga mempunyai satu rekod saman aktif Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Enam sekeluarga yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan di Johor ialah pasangan suami isteri Amir Ruddin Ismail, 46 dan Norahimah Noor Muhammad, 43, serta empat anak mereka - Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.

Kemalangan berlaku setelah kereta Perodua Alza yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori. - Bernama