Lagi 90 jadi mangsa sindiket tipu bina rumah

Hishamuddin (dua dari kiri) menyerahkan dokumen dan laporan mangsa sindiket penipuan membina rumah kepada seorang pegawai JSJK Bukit Aman di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Hishamuddin (dua dari kiri) menyerahkan dokumen dan laporan mangsa sindiket penipuan membina rumah kepada seorang pegawai JSJK Bukit Aman di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah koperasi menipu orang ramai yang dipercayai mengaut keuntungan sebanyak RM20 juta hampir empat tahun lalu kini kembali aktif menerusi tawaran pakej 2.0.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, setelah berhenti seketika pada tahun lalu, kumpulan penipu yang kononnya membina rumah kepada orang ramai menerusi pakej dan pelan menarik mula memasang jerat.

Beliau berkata, kumpulan itu berpangkalan di Sarawak dipercayai mula mengatur langkah mendekati orang ramai pada tahun ini dan terkini pihaknya menerima aduan hampir 90 mangsa menjadi penipuan sindiket itu.

"Pada hari ini, MHO hadir ke pejabat JSJK (Jabatan Siasatan Jenayah Komersial) Bukit Aman bagi menghantar laporan berhubung penipuan membina rumah oleh sindiket itu membabitkan peserta dari semenanjung.

"Kita berharap satu siasatan dilakukan oleh pihak JSJK Bukit Aman, seterusnya menangkap dan menuduh suspek ke muka pengadilan.

"Ia bagi memberi keadilan sewajarnya kepada mangsa yang telah habis ratusan ribu ringgit, namun rumah dijanjikan tidak disiapkan," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan dokumen serta laporan yang dibuat mangsa sindiket penipuan itu sebelum ini kepada pihak JSJK di Menara KPJ, dekat sini.

Mengulas lanjut katanya, MHO telah membuat laporan berhubung penipuan pembinaan rumah mampu milik tersebut kepada Ketua Polis Sarawak beberapa bulan lepas.

Katanya, satu kertas siasatan telah dibuka oleh polis kontinjen Sarawak berhubung kes itu dan satu jawatankuasa khas di peringkat negeri ditubuhkan bagi menjalankan siasatan.

"Kini kumpulan itu menggunakan nama syarikat lain dan proksi tertentu bagi mendekati orang ramai, seterusnya berselindung daripada dikesan atas penipuan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Perkara ini membimbangkan kerana hampir 500 peserta program pelaburan yang menawarkan rumah dan pakej membina rumah sebelum ini telah ditipu oleh kumpulan terbabit," katanya.

.