Setiausaha Agung PBB terkejut kenyataan diputar belit Israel

Penduduk menyelamatkan seorang budak perempuan berusia enam tahun, Suzy Eshkuntana dari bawah runtuhan bangunan di Gaza akibat serangan udara Israel. - Agensi
Penduduk menyelamatkan seorang budak perempuan berusia enam tahun, Suzy Eshkuntana dari bawah runtuhan bangunan di Gaza akibat serangan udara Israel. - Agensi
A
A
A

NEW YORK - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres terkejut apabila kenyataannya berhubung situasi sebenar di Genting Gaza diputar belit Israel.

Semasa mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) pada Selasa, Guterres tanpa menamakan Israel mengecam pelanggaran undang-undang antarabangsa yang jelas di Gaza dan menggesa gencatan senjata segera diisytiharkan.

Guterres menegaskan tiada alasan untuk keganasan mengerikan oleh serangan pejuang Hamas pada 7 Oktober lalu, tetapi ia bukan alasan bagi menghukum penduduk Palestin secara keseluruhan.

Tambah Guterres, serangan Hamas tidak mungkin berlaku tanpa sebab, sebaliknya penindasan, kekejaman dan keganasan terhadap rakyat Palestin yang sekian lama terkesan dengan tempoh 56 tahun diduduki secara haram telah menjadi punca utama.

Kenyataannya itu menimbulkan kemarahan Menteri Luar Israel, Eli Cohen, yang menyatakan orang awam termasuk kanak-kanak kecil terbunuh dalam serangan tunggal paling berdarah dalam sejarah Israel.

"Kenyataan saya dianggap seolah-olah mewajarkan tindakan Hamas. Ia salah dan tidak benar sama sekali.

"Saya bercakap tentang rungutan rakyat Palestin. Saya perlu bercakap benar kerana menghormati mangsa dan keluarga mereka," ujar Guterres.

Kenyataan Guterres di UNSC menyebabkan Cohen membatalkan pertemuan dengan Guterres.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Duta Israel ke PBB, Gilad Erdan menerusi kenyataan di X yang dahulunya dikenali sebagai Twitter menuntut pengunduran Guterrers daripada badan dunia itu.

Erdan turut menuduh Guterres menyokong keganasan dan pembunuhan.

Setakat ini, angka dikeluarkan Kementerian Kesihatan dikendalikan Hamas di Gaza menyatakan lebih 6,500 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam terbunuh di seluruh Gaza dalam pengeboman tanpa henti Israel.

Pengeboman itu sebagai tindak balas rejim Zionis terhadap Operasi Taufan al-Aqsa oleh pejuang Hamas di wilayah yang didudukinya pada 7 Oktober lalu.

Hamas melancarkan operasi itu selepas Israel berulang kali mencemarkan Masjid al-Aqsa dan menindas rakyat Palestin. - AFP