Pelupusan bot, tukun diiktiraf Malaysia Book Of Records

Hafiz Azzad (dua dari kanan) menyerahkan sijil Malaysia Book Of Records kepada Mohd Norzam selepas pelupusan bot nelayan asing di perairan Kuala Besar pada Jumaat.
Hafiz Azzad (dua dari kanan) menyerahkan sijil Malaysia Book Of Records kepada Mohd Norzam selepas pelupusan bot nelayan asing di perairan Kuala Besar pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Petronas dalam pelupusan bot nelayan asing dan tukun tiruan mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records.

Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia, Mohd Norzam Mustafa berkata, pelupusan itu diiktiraf berikutan penenggelaman dua buah bot bersama tukun tiruan konkrit yang diletakkan di atas kapal sebagai pemberat.

Beliau memberitahu, sebanyak 105 konkrit dianggarkan seberat 100,000 kilogram disumbangkan oleh Petronas sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka bagi mengaktifkan semula biodiversiti laut.

"Usaha ini menjimatkan masa dan kos kerana dilakukan serentak berbanding sebelum ini secara berasingan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas proses penenggelaman bot nelayan asing bersama tukun tiruan di sini pada Jumaat.

Dua bot nelayan yang ditenggelamkan bersama konkrit sejauh 5.3 batu nautika dari muara Kuala Besar.
Dua bot nelayan yang ditenggelamkan bersama konkrit sejauh 5.3 batu nautika dari muara Kuala Besar.

Hadir sama, Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Syed Nor Adli Syed Ab Rahman; Pengurus Besar Kanan Petronas Peninsular Malaysia Assets (PMA) Hafiz Azzad Zubir dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Mohd Norzam menjelaskan, tukun dan bot dilupuskan sejauh 5.3 batu nautika dari muara Kuala Besar yang sesuai dengan lokasi serta mempunyai banyak sumber hidupan marin mengikut kajian Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT).

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, sebanyak 90 bot nelayan asing yang dilucut ditenggelamkan selepas tangkapan dalam tempoh lapan tahun bermula 2015.

Dalam perkembangan lain, Mohd Norzam berkata, kira-kira RM485 juta daripada lebih RM800 juta yang diperoleh Maritim diperuntukkan bagi penyelenggaraan aset.

"Kementerian Dalam Negeri memperoleh lebih RM5 bilion melalui Belanjawan 2024 Oktober lalu dan antara manfaat yang diperoleh ialah penambahan sebanyak 79 bot baru," katanya.