Pelupusan tukun tiruan bantu nelayan pesisir pantai

Muhammad Nasir menunjukkan bot yang dilupuskan di muara Kuala Besar oleh Maritim Malaysia pada Jumaat.
Muhammad Nasir menunjukkan bot yang dilupuskan di muara Kuala Besar oleh Maritim Malaysia pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Usaha melupuskan bot nelayan asing bersama kuboid konkrit sebagai tukun tiruan di pesisir pantai dapat membantu komuniti nelayan di kawasan itu mendapatkan sumber laut tanpa perlu ke lokasi lebih jauh.

Pengurus Besar Kanan Petronas Peninsular Malaysia Assets (PMA), Hafiz Azzad Zubir berkata, Petronas menyumbangkan sebanyak 105 struktur konkrit bagi tujuan pelupusan bot di muara Kuala Besar itu dijangka bertahan selama 50 tahun.

Menurut beliau, dalam tempoh berkenaan, tukun dapat membantu pembiakan ekosistem hidupan marin dan meningkatkan produktiviti biologi.

"Kerjasama bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melupuskan bot di muara Kuala Besar ini secara tidak langsung meningkatkan sumber perikanan di kawasan pesisir pantai," katanya kepada pemberita selepas proses penenggelaman bot nelayan asing bersama tukun tiruan di sini pada Jumaat.

Muhammad Nasir (tiga dari kanan) bersama tetamu utama yang menyaksikan proses penenggelaman bot nelayan asing bersama tukun tiruan di muara Kuala Besar pada Jumaat.
Muhammad Nasir (tiga dari kanan) bersama tetamu utama yang menyaksikan proses penenggelaman bot nelayan asing bersama tukun tiruan di muara Kuala Besar pada Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia, Mohd Norzam Mustafa dan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Sementara itu, Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah yang turut serta melihat sendiri kaedah pelupusan berkenaan berkata, ia satu usaha terbaik memberi peluang kepada nelayan tempatan.

"Mereka bersaing dengan nelayan asing yang menceroboh perairan dan inisiatif kerajaan terutama Maritim Malaysia dapat membantu nelayan pesisir pantai memperoleh lebih banyak sumber laut selepas ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Nasir (kiri) memakai jaket keselamatan sebelum menyaksikan proses penenggelaman bot nelayan asing bersama tukun tiruan di muara Kuala Besar pada Jumaat.
Muhammad Nasir (kiri) memakai jaket keselamatan sebelum menyaksikan proses penenggelaman bot nelayan asing bersama tukun tiruan di muara Kuala Besar pada Jumaat.

Beliau turut mencadangkan perancangan khusus setiap tahun melibatkan banyak lokasi yang tidak terlalu jauh dengan pantai bagi memudahkan nelayan bot kecil.

Selain itu katanya, pembabitan pelajar dalam bidang marin supaya melakukan kajian sumber dan biodiversiti dapat meningkatkan input positif penggunaan tukun tiruan.

"Paling penting komuniti nelayan mendapat manfaat termasuk peningkatan sumber laut utama seperti ikan," katanya.

Kerjasama Maritim Malaysia dan Petronas melupuskan bot nelayan asing dan tukun tiruan mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records.