Undang-undang MLM

A
A
A

Disebabkan terlalu banyak isu penipuan melibatkan perniagaan jualan langsung secara pemasaran berbilang tingkat atau multi-level marketing (MLM), maka banyak dalam kalangan kita pada hari ini yang merasakan MLM itu adalah satu bentuk penipuan yang nyata dan tidak boleh disertai.

Sebenarnya, MLM adalah satu jenis perniagaan yang sah di Malaysia asalkan perniagaan MLM tersebut dilesenkan dan berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Jadi, untuk mengatakan bahawa semua perniagaan MLM adalah satu bentuk penipuan ataupun salah di sisi undang-undang adalah satu kenyataan yang agak salah dan menyeleweng.

Di Malaysia, perniagaan MLM dikawal selia oleh KPDNHEP di bawah Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 (AJLSAP). Oleh itu, selagi perniagaan MLM tersebut didaftar dan dilesenkan oleh KPDNHEP, maka perniagaan MLM tersebut adalah mengikut lunas undang-undang.

Namun, jangan pula dicelaru dengan skim piramid. Apakah skim piramid dan apa bezanya dengan MLM? AJLSAP telah menyenaraikan ciri-ciri skim piramid yang membezakannya dengan MLM. Contohnya, promosi sesuatu skim atau pembayaran bonus atau faedah lain adalah semata-mata atau lebih kepada perekrutan peserta ke dalam skim berbanding dengan jualan produk.

Selain itu, antara ciri lain skim piramid adalah bonus atau apa-apa faedah lain dibayar kepada peserta semata-mata atau lebih kepada faktor perekrutan atau pengenalan orang lain ke dalam skim berbanding dengan jualan produk.

Itu antara contoh ketara skim piramid yang sering berlindung di sebalik perniagaan MLM. Disebabkan skim piramid, maka ramai yang turut salah anggap kepada perniagaan MLM.

Garis panduan

Artikel Berkaitan:

Perlu dijelaskan, perniagaan berbentuk skim piramid sememangnya salah di sisi undang-undang, manakala perniagaan berbentuk MLM adalah sah asalkan dilesenkan dan berdaftar dengan KPDNHEP.

Malah, untuk menunjukkan MLM itu adalah satu bentuk perniagaan yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga turut mengeluarkan Garis Panduan Perniagaan Jualan Langsung Secara Pemasaran Berbilang Tingkat (Multi-Level Marketing) Menurut Syariah pada tahun 2013. Itu menunjukkan bahawa MLM juga boleh menjadi sebuah perniagaan yang sah di sisi Islam, asalkan mengikut syarak.

Syarikat-syarikat jualan langsung boleh melaksanakan perniagaan MLM mereka dengan mengikut garis panduan syariah yang ditetapkan oleh Jakim. Antara keperluannya adalah seperti mempunyai dua penasihat syariah dan menawarkan produk yang patuh syariah. Secara kasarnya, langsung tidak sukar untuk syarikat jualan langsung mematuhi garis panduan Jakim itu kerana ia tidak kompleks dan jelas.

Bagaimana pula hendak mengetahui sama ada sesebuah perniagaan MLM didaftarkan atau berlesen dengan KPDNHEP atau tidak? Orang ramai boleh menyemak status syarikat jualan langsung yang berlesen dengan KPDNHEP melalui laman sesawang kementerian tersebut.

Di laman sesawang tersebut, KPDNHEP telah menyenaraikan nama-nama syarikat jualan langsung yang berlesen serta tempoh kesahan lesen mereka. Malah, turut disenaraikan adalah nama-nama syarikat jualan langsung yang telah dibatalkan lesen mereka oleh KPDNHEP.

Amat penting agar orang awam menyemak status mana-mana syarikat jualan langsung sebelum menyertai mereka dalam perniagaan MLM bagi mengelakkan anda daripada menjadi mangsa penipuan, malah berkemungkinan menyebabkan orang lain turut menjadi mangsa kepada penipuan skim piramid.

Sehingga kini, saya sendiri banyak menguruskan kes-kes berkenaan mangsa penipuan skim piramid yang terpaksa menanggung hutang beratus ribu dengan downliner mereka. Walaupun pada awalnya mereka sertai skim piramid yang berselindung di sebalik MLM itu dengan niat baik dan untuk menambah rezeki keluarga, mereka sebenarnya tidak sedar bahawa mereka sedang membantu si penipu untuk menipu lebih ramai orang. Akhirnya, mereka terpaksa menanggung hutang yang amat banyak akibat dituntut oleh downliner mereka apabila ketua skim piramid tersebut lesap.

Orang awam harus tahu untuk membezakan antara MLM dan skim piramid agar tidak menjadi mangsa penipuan, ataupun menjadi penipu tanpa disedari. Semak dahulu status syarikat tersebut sebelum anda melibatkan diri dengan mereka.

* Haeme Hashim ialah peguam di HaemeHashim & Co