Nilai ringgit terus jatuh, MCA minta kerajaan cari jalan penyelesaian segera

Kerajaan diminta mencari penyelesaian segera bagi menangani prestasi ringgit merosot ketika ini dan peningkatan inflasi yang membebankan rakyat. -Gambar hiasan (Gambar kecil: Yee Fung)
Kerajaan diminta mencari penyelesaian segera bagi menangani prestasi ringgit merosot ketika ini dan peningkatan inflasi yang membebankan rakyat. -Gambar hiasan (Gambar kecil: Yee Fung)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta mencari penyelesaian segera bagi menangani prestasi ringgit merosot ketika ini dan peningkatan inflasi yang membebankan rakyat.

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Saw Yee Fung berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setakat ini belum mempunyai sebarang dasar fiskal untuk menangani masalah tersebut dan ia amat membimbangkan.

“Nilai ringgit rendah berbanding dolar AS (AS$), menyusut ke tahap terendah sejak krisis kewangan Asia iaitu hampir RM4.80 berbanding AS$ dan RM3.50 berbanding dolar Singapura (SGD).

"Kita tidak menolak konflik Israel-Palestin dan kenaikan kadar faedah secara agresif oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) beri kesan kepada ringgit.

“Namun, ia bukan tiket untuk kerajaan terus memberikan alasan dan menjadikan penurunan ringgit sesuatu yang 'rasional' tanpa mencadangkan sebarang langkah fiskal,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, sebelum ini, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus memaklumkan akan ada langkah pasaran untuk bertindak balas terhadap kejatuhan nilai ringgit melalui dasar monetari, tetapi tiada sebarang cadangan yang sepadan untuk memperbaiki tekanan ekonomi semasa buat rakyat daripada kerajaan.

Ujarnya, Anwar yang sering disebut sebagai ‘Menteri Kewangan Terbaik’ itu masih belum memberikan sebarang respon berhubung tindakan berkenaan.

Yee Fung turut menyatakan, kemerosotan berterusan nilai ringgit bukanlah perkara baharu dan kerajaan perlu meneliti semula sama ada penyusutan terbabit berkaitan dengan masalah struktur dalam ekonomi negara serta bukan hanya semata-mata berpunca daripada faktor antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

"Momentum pertumbuhan negara merosot sejak 90-an, daripada lebih tujuh peratus kepada tiga sehingga empat peratus dan menurut Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD).

“Malaysia di kedudukan ke-10 pada 2010 jatuh ke tangga 27 tahun lalu, seterusnya tempat ke-30 dalam kedudukan kecekapan serta perundangan perniagaan.

"Bagaimanapun, melalui pembentangan Belanjawan 2024, kerajaan sebaliknya menaikkan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada enam kepada lapan peratus selain pemansuhan harga siling ayam serta telur dijangka memburukkan lagi inflasi di negara ini,” ujar Yee Fung.

Menurutnya lagi, walaupun kadar inflasi domestik pada suku ketiga ialah 1.9 peratus, namun restoran, hotel, makanan dan minuman bukan alkohol menyumbang peratus tertinggi terhadap Indeks Harga Pengguna (IHP) iaitu lebih dua kali ganda.

“Keperluan harian merupakan perkara penting bagi kelangsungan hidup rakyat, jika ia terus meningkat secara tidak langsung, beban ekonomi dan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah atau sederhana akan turut menerima kesannya. Jadi, apakah langkah kerajaan terhadap isu ini?

“Adakah kerajaan berhasrat untuk menubuhkan 'Pasukan Jihad Tangani Penurunan Nilai Ringgit' sepertimana pernah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini yang menubuhkan 'Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi',” soalnya.